Pape Diakite akan nasihat Rahadiazli Rahalim, tidak salahkan penjaga gol itu atas kekalahan di ‘final’ Piala FA

735

Pemain pertahanan Terengganu FC, Pape Diakite menganggap bahawa kekalahan pasukan itu pada perlawanan akhir Piala FA sebentar tadi tidak boleh diletakkan di bahu penjaga gol, Rahadiazli Rahalim seorang.

Walaupun mengakui kesilapan penjaga gol itu menyumbang kepada jaringan ketiga JDT, beliau menganggap bahawa ia adalah salah satu perkara yang boleh dilakukan oleh semua pemain.


“Semua orang buat silap termasuk saya dan pemain lain. Tetapi tiada siapa yang harus dipersalahkan kerana kami menang dan kalah sebagai satu pasukan.

Beliau masih lagi muda. Sebagai pemain, bagaimana cara anda bangkit adalah penting selepas melakukan satu kesilapan,”

katanya.

Menurutnya, beliau akan duduk dengan Rahadiazli dan memberi nasihat kepadanya mengenai kesilapan tersebut.

Beliau berkata, kesilapan itu tidak boleh menjadi satu perkara yang menjatuhkan Rahadiazli dan penjaga gol itu harus terus memandang ke hadapan.

Dalam pada itu, beliau tetap berbangga dengan pasukan kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir.

“Saya bangga dengan pemain, kakitangan serta penyokong yang datang sini untuk memberi sokongan, kami tidak perlu berasa kecewa.

Ini adalah tahun pertama saya di sini dan saya berjaya melangkah ke perlawanan akhir, saya akan terus belajar dan memperbaiki diri.”

JDT berjaya menewaskan Terengganu 3-1 hasil Arif Aiman dan dua gol Bergson da Silva, manakala gol saguhati Terengganu dijaringkan oleh Tchetche Kipre.

Kali terakhir JDT menjulang piala itu adalah pada tahun 2016 menewaskan PKNS.