Saya sasarkan sembilan mata untuk cerahkan peluang ke pusingan seterusnya – Hassan Sazali

270

Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras menyasarkan untuk meraih sembilan mata penuh dalam kumpulan E pada kelayakan Piala Asia B-20 yang akan bermula 14 September ini.

Menurutnya, walaupun Korea Selatan turut diletakkan dalam kumpulan tersebut, beliau melihat perkembangan baik daripada anak-anak buahnya dalam tiga perlawanan persahabatan yang dijalankan sebelum ke kejohanan tersebut.


“Sasaran saya sebolehnya adalah maksimum sembilan mata untuk kita layak secara merit, perancangan saya adalah untuk mendapatkan dua kemenangan awal menentang Mongolia dan Sri Lanka.

Dengan Korea Selatan, saya harap kita mampu sekurang-kurangnya seri dengan mereka supaya peluang kita luntuk ke peringkat seterusnya lebih cerah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, beliau terpaksa menggugurkan Azhad Harraz Arman kerana kecederaan manakana Adam Uwais Armi pula digantikan kerana terdapat pemain lain yang lebih baik.

Beliau berkata salah satu kriteria yang dipertimbangkan dalam pemilihan pemain adalah keupayaan mereka untuk bermain lebih daripada satu posisi.

“Kita memilih pemain yang boleh bermain di beberapa posisi kerana kita terpaksa menghadapi tiga perlawanan dalam tempoh yang singkat.

Untuk aksi kelayakan ini, saya bawa dua muka baru iaitu Muhammad Abu Khalil dan Oswyn Lim.”

Dalam pada itu, Hassan percaya bahawa cuaca di Mongolia sekitar 15 hingga 17 darjah celsius tidak akan memberi masalah buat para pemain.

Skuad negara akan turun menentang Mongolia pada 14 September, diikuti Sri Lanka (16 September) sebelum menghadapi cabaran Korea Selatan (18 September).