Ibu saya bukan sahaja beri semangat buat saya, tetapi satu pasukan – Haykal Danish

1,349

Pemain skuad B-19 negara, Haykal Danish berbangga dengan peranan ibunya yang sentiasa memberi semangat bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga setiap pemain dalam pasukan.

Menurutnya, sokongan yang diberikan oleh ibu bapanya menjadi semangat buat dirinya ketika berada di mana-mana.


“Mak saya ni bila saya main di padang dialah orang yang paling bising, malah lebih bising dari orang dalam padang sampaikan semua pemain tahu mak saya.

Saya memang bangga dengannya kerana dia bukan sahaja beri semangat kepada saya tetapi kepada satu pasukan, cuma saya harap dia tak lupakan sayalah lepas popular dalam kalangan rakan-rakan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berharap ibu bapa di luar sana memberikan sokongan kepada minat anak-anak mereka supaya mereka lebih bersemangat untuk pergi jauh.

Dalam pada itu, Haykal berharap beliau dan rakan-rakan mampu layak ke Piala Asia B-19 dan juga ke Piala Dunia B-20 tahun depan.

Mengenai persaingan dalam pasukan, beliau berkata tidak berasa tertekan walaupun bermain dengan ramai pemain yang lebih berumur.

“Tiada masalah buat saya beraksi dengan pemain yang lebih berumur kerana sebelum ini saya pernah bermain dengan skuad B-21.

Jadi saya memang dah biasa bermain dengan pemain lebih senior dan saya tidak kekok beraksi dengan mereka.”

Haykal juga berharap beliau dapat beraksi bersama-sama abangnya, Harry Danish yang beraksi bersama Selangor FC, satu hari nanti.

Haykal merupakan salah seorang pemain daripada pasukan Akademi Mokhtar Dahari B-17 yang dipanggil untuk kelayakan Piala Asia B-20 di Mongolia yang bermula 14 September ini.