Jika kaum Cina beri sokongan kepada anak, lebih ramai pemain Cina akan bermain untuk negara – Jackson Lim

4,679

Bapa kepada pemain skuad B-19 negara, Oswyn Lim iaitu Jackson Lim berharap lebih ramai bangsa Cina dapat memberi sokongan kepada anak mereka yang mempunyai minat dalam bola sepak.

Beliau berkata, kaum cina harus membuka fikiran mereka dan percaya bahawa sukan bola sepak di negara ini mampu mendatangkan kejayaan.


“Bagi saya sebagai ibu bapa, anda harus menyokong minat anak anda dan bukan cakap bahawa orang cina tidak boleh berjaya dalam bola sepak.

Saya sentiasa cakap kepada anak saya bahawa beliau boleh dan saya percaya jika lebih ramai ibu bapa tunjukkan sokongan, lebih ramai pemain Cina akan bermain untuk negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Oswyn merupakan satu-satunya pemain berbangsa Cina yang disenaraikan dalam skuad B-19 negara untuk kelayakan Piala Asia B-20 di Mongolia.

Menurut Jackson, beliau berbangga apabila anaknya mendapat panggilan kebangsaan kerana ini merupakan impiannya sejak kecil.

Tambahnya, beliau turut mengingatkan anaknya supaya mementingkan pelajaran supaya masa depan lebih terjamin.

“Selain bermain bola sepak, saya selalu ingatkan beliau untuk fokus kepada pelajaran, beliau sedang belajar di sebuah universiti tempatan ketika ini.

Saya lihat walaupun beliau fokus bermain bola sepak, pelajaraannya tetap tidak terganggu.”

Dalam pada itu, beliau percaya skuad negara mampu menampilkan aksi yang baik untuk layak ke Piala Asia B-20 tahun depan.

Beliau berkata, peluang beraksi bersama skuad kebangsaan adalah satu pendedahan yang baik buat Oswyn dan berharap beliau mampu beraksi dengan baik apabila diturunkan.