Negeri Sembilan kecundang di final PTSR, harap akan ada lebih banyak liga wanita di peringkat negeri selepas ini
Pasukan wanita Negeri Sembilan gagal mengekalkan momentum kecemerlangan selaku juara Liga Wanita Nasional (LWN) Zon Selatan selepas kecundang di tangan musuh utama, Melaka United di perlawanan akhir Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) tahun ini.
Aksi akhir ini berlanjutan sehingga ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit perlawanan.
Kepenatan menjadi punca kemorosotan prestasi di kalangan pemain selepas mereka terpaksa berhadapan dengan jadual yang cukup padat.
Ketua pasukan, Malini Nordin berharap agar selepas ini akan adanya sebuah liga jangka masa panjang yang dapat direalisasikan.
“Sudah lama saya dengar cadangan untuk adakan liga tapi bukan masalah dari FAM tetapi dari persatuan negeri yang tidak mahu keluar.
Mereka menganggap pasukan wanita tidak boleh memberi keuntungan, jadi mereka takut untuk keluarkan bajet kepada pasukan wanita,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berharap akan ada layanan yang lebih adil terhadap pasukan wanita yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.
Dalam pada itu, Malini gagal menyembunyikan kesedihannya selepas gagal membantu skuad Negeri Sembilan menjulang trofi PTSR tahun ini.
“Sejujurnya memang saya kecewa untuk membantu pasukan saya kerana kami ingin mencipta sejarah.
Negeri Sembilan tidak pernah pergi sejauh ini, memang sasaran saya untuk menjulang piala di final ketiga saya.”
Mereka yang turun sebagai pasukan pilihan tidak berjaya menepati ramalan selepas akur dengan jaringan minit ke-116 yang dihasilkan oleh pemain pasukan Melaka United.
“Sejujurnya saya sedikit kecewa kerana tidak menjadi juara dengan tanggapan orang ramai yang mengatakan pasukan Negeri Sembilan ibarat JDT versi wanita.
Kami telah menjangkakan aksi yang sukar kerana Melaka United dibarisi oleh pemain kebangsaan tetapi kami sudah mencuba cuma rezeki tidak memihak kepada kami.”
Pasukan Negeri Sembilan dilihat sedikit terumbang ambing di awal perlawanan sehingga membolehkan para pemain Melaka United untuk mendominasi perlawanan tatkala mereka memiliki pemain yang lebih berpengalaman.
Mujur, disiplin bertahan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Zainnondin Hussain berjaya membantu untuk mengekang asakan daripada barisan serangan Melaka United.
‘Separuh masa pertama lebih berpihak kepada Melaka United, tetapi pertahanan kita beraksi dengan baik untuk mematahkan serangan.
Jurulatih memberi arahan yang sepatutnya, penjaga gol kita juga beraksi dengan sangat baik.” kata Zainnondin.
Meskipun gagal merangkul kejuaraan, Negeri Sembilan tetap unggul selepas dua pemain pasukan tersebut berjaya meraih anugerah.
Penyerang utama, Henrietta Justine berjaya dinobatkan selaku penjaring terbanyak selepas mengumpul tujuh gol daripada lima perlawanan
Manakala, penjaga gol muda berusia 19 tahun, Ezza Ashikin meraih gelaran penjaga gol terbaik PTSR 2022 selepas memperagakan aksi cemerlang di gawang gol sepanjang kejohanan.