Dua pasukan dari Liga M3, PIB FC & KL Rovers FC mungkin akan naik ke Liga Super musim hadapan

2,200

Saingan Liga Malaysia sudah pun menghampiri penghujung musim dan antara yang paling menarik adalah saingan Liga M3 turut menghampiri pengakhiran apabila dua pasukan iaitu PIB FC dan KL Rovers FC sudah menempah tiket ke final.

Kedua-dua pasukan ini akan bersaing bagi merebut gelaran juara Liga M3 sekaligus melayakkan diri ke perlawanan play-off Liga Super pada musim hadapan berikutan penstrukturan Liga Malaysia pada musim hadapan menyaksikan saingan Liga Perdana dihentikan buat seketika waktu.


Penstrukturan liga oleh Malaysian Football League (MFL) pada musim hadapan akan memperlihatkan saingan Liga Super akan mempunyai sebanyak 18 pasukan bagi memastikan saingan liga menjadi lebih kompetitif.

Dengan penstrukturan ini juga membuatkan kesemua 12 pasukan di Liga Super terselamat dari tersingkir ke Liga Perdana.

Sebanyak empat pasukan Liga Perdana akan layak secara automatik ke Liga Super dengan dua pasukan tercorot perlu mengharungi perlawanan play-off dengan dua pasukan teratas Liga M3.

Berdasarkan kedudukan semasa, pasukan Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC dan PDRM FC boleh dikatakan sudah pun ‘menjamin’ tempat mereka di Liga Super pada musim hadapan.

Manakala dua pasukan lagi iaitu UiTM FC dan Perak FC yang kini berada di kedudukan tercorot terpaksa bermain play-off.

Terdapat beberapa kemungkinan yang mampu berlaku iaitu yang pertama kedua-dua pasukan UiTM dan Perak tewas dalam perlawanan play-off sekaligus akan menyaksikan dua pasukan Liga M3 iaitu PIB dan KL Rovers naik ke Liga Super atau salah satu sahaja yang akan naik.

Kemungkinan kedua pasukan UiTM menarik diri dari saingan Liga Malaysia kerana tidak mampu bersaing di liga tertinggi dek tidak berkemampuan untuk menampung kos berikutan kos minimum untuk menguruskan pasukan Liga Super pada musim hadapan akan mencecah sekitar RM8-10 juta setahun, dan ini akan membuka ruang dan peluang kepada juara Liga M3 akan naik secara automatik ke Liga Super manakala Perak perlu bermain play-off dengan naib juara Liga M3.

Kemungkinan ketiga pula, jika UiTM benar-benar tarik diri dan cadangan Kelantan FC dan Kelantan United FC akan bergabung pada musim depan, perlawanan play-off mungkin tidak akan berlaku kerana Perak, PIB dan KL Rovers akan layak secara automatik.

Kemungkinan keempat pula, mungkin satu atau dua lagi pasukan Liga M3 akan mendapat peluang untuk beraksi di Liga Super jika pihak MFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mengenakan tindakan tegas kepada dua pasukan Liga Super iaitu Melaka United FC dan Sarawak United FC yang kini dibelenggu dengan masalah tunggakan gaji.

Sementara itu, Perak juga kini sedang berdepan masalah tetapi bukan masalah gaji, sebaliknya masalah prestasi tidak konsisten yang telah mencetuskan kebimbangan para peminat yang sudah ada yang mula mendesak pemilik The Bos Gaurus menggantikan ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

Dua nama besar iaitu Tan Cheng Hoe dan Lim Teong Kim disebut-sebut sebagai ketua jurulatih yang baru, namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) interim Perak, Bobie Farid Shamsuddin meminta peminat supaya tidak bimbang kerana beliau dan pihak pengurusan tahu apa yang perlu dilakukan.

Kita keterlaluan jika hendak dikatakan Liga Malaysia pada musim ini penuh dengan ‘drama’ sejak dari awal lagi sehingga sekarang, tetapi apa yang menyedihkan adalah jumlah kehadiran peminat ke stadium masih lagi rendah.

Pihak MFL dan pihak pengurusan pasukan perlu mencari satu idea kreatif dan bernas untuk cuba menarik peminat kembali ke stadium kerana ia demi kelangsungan Liga Malaysia sendiri. Ingat bola sepak ‘kosong’ tanpa peminat.