Borussia Dortmund bakal terlepas peluang merasai Jakarta International Stadium, dijangka sedia dalam 3-5 tahun

489

Kelab gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund telah mengumumkan perancangan mereka untuk melakukan jelajah persahabatan di sekitar negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam dan Singapura.

Pemilihan ASEAN sebagai salah sebuah lokasi jelajah menunjukkan petanda yang baik terhadap penerimaan dan kedudukan bola sepak rantau ini di peringkat antarabangsa.


Situasi ini pastinya menggembirakan peminat bola sepak di negara-negara tersebut terutamanya Indonesia yang memiliki jumlah penonton yang tinggi.

Tambahan pula, Indonesia kini berjaya menunjukkan peningkatan luar biasa dalam bola sepak ASEAN selepas kejayaan yang berjaya diraih sejak kebelakangan ini.  

Namun, ada sedikit kesedihan di sebalik khabar gembira ini tatkala stadium kebanggaan mereka yang terbaru, Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) masih belum dapat digunakan secara rasmi.

Ini kerana, stadium gergasi berteknologi tinggi tersebut dikatakan masih belum mencapai standard piawaian yang ditetapkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Curacao yang telah dijadualkan berlangsung di stadium tersebut pada bulan ini telah dipinda ke sebuah lokasi baru yang belum dipastikan.

Setakat ini, Stadium Gelora Bandung Lautan Api dikatakan telah dipilih sebagai venue terbaru namun belum disahkan.

Ada khabar angin yang mengatakan bahawa alasan sebenar pertukaran venue adalah kerana sewa JIS yang terlalu mahal.

Namun, ada juga yang menyebut tentang masuk campur urusan politik dalam perkara ini yang menyebabkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) melakukan ‘pusingan U’ dan memilih stadium yang lain.

Tiada kepastian buat masa ini terhadap permasalahan yang sedang berlaku kerana ia sedikit bercanggah dengan kenyataan yang pernah diberikan oleh wakil dari negara tersebut.

Setelah melalui proses penilaian, PSSI memberi gambaran bahawa JIS berkemungkinan besar bersedia untuk digunakan dalam tiga hingga lima tahun akan datang.

Kekurangan ini turut diakui oleh Gabenor Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta, Ahmad Riza Patria yang melihat masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap JIS sebelum mampu menampung lebih banyak perlawanan besar selepas ini.

Berdasarkan keadaan semasa, peminat bola sepak negara tersebut perlu menunggu lebih lama sebelum mendapat peluang untuk membanjiri dan merasai kecanggihan yang dimiliki oleh stadium gergasi tersebut.

Pada masa yang sama, ini bermakna bahawa jelajah yang bakal dilakukan oleh pasukan Dortmund dalam tempoh 21 November hingga 1 Disember tahun ini perlu diadakan di sebuah lokasi lain yang lebih sesuai.

Hal ini sedikit mengecewakan kerana ini adalah peluang terbaik untuk Indonesia menunjukkan kualiti yang dimiliki oleh mereka kepada dunia.

Dortmund memiliki peminat yang ramai di seluruh dunia dan aksi persahabatan ini semestinya menarik minat ribuan orang yang bukan sahaja akan menyaksikan perlawanan tersebut menerusi saluran televisyen malah ada yang akan sanggup turun ke stadium untuk memberikan sokongan.

Semoga kesemua isu dan masalah yang melanda PSSI serta pihak lain yang bertanggungjawab dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Johor Darul Ta’zim (JDT) FC jadi pasukan terakhir dari ASEAN yang pernah menentang pasukan Dortmund pada tahun 2015.