Cristiano Ronaldo ditawar gaji RM10.5 juta seminggu beraksi di Saudi Pro League

4,223

Kepulangan Cristiano ke Manchester United nampaknya tidak menjadi seperti yang diharapkan walaupun beliau menampilkan prestasi yang memberangsangkan ketika diturunkan.

Buktinya, beliau merupakan penjaring terbanyak pasukan musim lalu dengan 24 gol dalam 39 perlawanan, serta turut menyumbangkan tiga bantuan gol.


Namun, di sebalik persembahan individu yang baik, United menamatkan saingan di tangga keenam, gagal layak ke saingan UEFA Champions League (UCL).

Musim ini, situasi bertambah buruk buat Ronaldo apabila beliau tidak menjadi pilihan ketua jurulatih baru, Erik Ten Hag dan sering memanaskan bangku simpanan.

Ketika ini, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa beliau tidak gembira di United dan mahu berhijrah ke kelab lain.

Sebelum musim ini bermula, kelab Arab Saudi, Al-Hilal dilaporkan berminat untuk membawa bintang Portugal itu ke Saudi Pro League.

Mereka sanggup menawarkan gaji setinggi £2 juta (RM10.5 juta) seminggu, dua kali ganda daripada Kylian Mbappe yang merupakan penerima gaji mingguan terbanyak ketika ini.

Kontraknya di Manchester United ketika ini adalah sebanyak £480,000 (RM2.5 juta) seminggu dan akan berakhir pada hujung musim.

Walaupun beraksi di Asia mungkin merupakan satu ‘downgrade’ buat pemain seperti beliau, tetapi dengan usianya sudah 37 tahun, tiada apa lagi yang perlu dibuktikan olehnya dengan koleksi piala dan anugerah yang telah dikumpul.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser al-Misehhal sendiri teruja dengan prospek untuk membawa pemain itu ke Arab Saudi.

Ini menunjukkan betapa seriusnya pihak di sana untuk membawa pemenang Ballon d’Or lima kali itu ke liga mereka.

Ketika kontraknya bersama United tamat, usianya akan mencecah 38 tahun tetapi bagi pemain berkaliber seperti Ronaldo, beliau sudah tentu tiada masalah untuk menyesuaikan diri di liga tersebut.

Malah beliau mampu meningkatkan lagi reputasi liga itu termasuk bola sepak Asia secara keseluruhan. Bukan itu saja, kejohanan AFC Champions League (ACL) juga akan menjadi lebih menarik dan dalam beberapa musim lagi, lebih ramai pemain terkemuka dunia akan berminat untuk menyertai kelab-kelab Asia.