BRM FC & Imigresen FC berpeluang naik ke Liga Super musim depan?
Ketika saingan Liga Super dan Liga Perdana sudah hampir menutup tirai dengan ramai sudah boleh menjangkakan siapakah yang akan menjuarai kedua-dua saingan liga tersebut, namun kini ramai yang mula beralih kepada saingan Liga M3.
Ini kerana saingan Liga M3 kini bakal memasuki perlawanan akhir yang mana ia akan membabitkan dua pasukan iaitu KL Rovers FC dan PIB FC yang mana masing-masing berjaya menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir iaitu BRM FC dan Imigresen FC.
Kedua-dua pasukan BRM dan Imigresen sememangnya memasang impian untuk naik ke saingan tertinggi Liga Malaysia, namun impian mereka tidak tercapai selepas terkandas di peringkat separuh akhir.
Dua pasukan finalis KL Rovers dan PIB sudah pun mengesahkan slot mereka untuk perlawanan play-off Liga Super yang mana mereka akan berdepan dengan Perak FC dan UiTM FC untuk merebut tempat ke saingan tertinggi Liga Malaysia.
Bagaimanapun, BRM dan Imigresen berkemungkinan mempunyai peluang untuk naik ke Liga Super apabila terdapat khabar yang mengatakan dua pasukan di Liga Malaysia ketika ini berkemungkinan besar akan ‘menutup’ operasinya pada musim depan.
Walaupun tiada nama pasukan yang disebut, namun ramai yang mula membuat spekulasi bahawa UiTM FC dan Kelantan United FC tidak akan beraksi lagi.
Sebabnya? UiTM berkemungkinan besar tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan pada musim depan jika layak ke Liga Super berikutan kos minimum untuk semusim dianggarkan sekitar RM8-10 juta, jadi ia pasti amat sukar untuk mereka mencari dana sebesar itu.
Tambahan pula mereka kini sudah kembali dengan objektif asal mereka iaitu kesemua pemain mereka adalah pelajar, jadi adalah tidak sesuai untuk mereka bersaing di Liga Super yang mempunyai ramai pemain lebih berpengalaman termasuk pemain import.
Bajet mereka pada musim ini di Liga Perdana juga boleh dikatakan antara terendah, jadi ramai tidak akan terkejut jika UiTM akan menarik diri pada musim depan.
Manakala untuk pasukan Kelantan United pula dikatakan akan menarik diri bukan kerana tidak mampu, tetapi dikatakan berkemungkinan besar akan bergabung dengan pasukan utama negeri itu iaitu Kelantan FC.
Jika perkara ini benar-benar berlaku, bermakna dua finalis Liga M3 akan layak secara automatik naik ke Liga Super, tetapi difahamkan salah satu pasukan yang akan layak itu mungkin mahu kekal di saingan Liga M3 kerana kekangan kewangan jika naik ke Liga Super.
Apabila pasukan itu tidak mampu, bermakna satu slot akan menjadi kosong dan ia sekaligus membuka peluang kepada dua pasukan yang kandas di separuh akhir iaitu BRM dan Imigresen untuk beraksi di Liga Super.
Mungkin satu perlawanan play-off akan diadakan bagi memilih pasukan yang layak untuk naik liga.
Bagaimanapun semuanya masih belum dapat dipastikan berikutan tiada sebarang perkembangan terbaru mengenai pasukan yang dimaksudkan.
Apa pun sama-sama kita tunggu pada hujung musim ini untuk menyaksikan samada akan berlaku perubahan ketara antara pasukan di Liga Malaysia susulan penstrukturan Liga Malaysia pada musim hadapan.