Tengku Nana mainkan peranan besar terhadap pembangunan akar umbi, beri pendedahan bakat muda TSS FC bersaing di kejohanan antarabangsa

1,501

Pengasas kelab TSS FC, Tengku Shakirinal Shah telah memainkan peranan yang cukup besar dalam menyediakan medium kepada pemain-pemain muda di kelab tersebut untuk terus meningkatkan kualiti permainan mereka.

Perkara ini diakui oleh legenda Selangor, Shamsul Amri yang juga bertindak sebagai salah seorang jurulatih di kelab ini.


Beliau melihat pendedahan yang berjaya diberikan kepada pemain merupakan salah satu faktor utama yang membantu mereka untuk terus memperbaiki corak permainan masing-masing.

“Tengku Shakirinal Shah memang bagus kerana dia memberi pendedahan kepada pemain-pemain untuk keluar.

Bila kita bersaing di luar, kita akan berhadapan dengan suasana yang lebih mencabar dan cukup berbeza, perkara ini sangat bagus,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kewujudan lebih banyak akademi serta kelab di peringkat akar umbi ketika ini memberi kelebihan besar kepada para pemain muda.

Ini akan membolehkan mereka mengumpul lebih banyak minit permainan serta memperoleh pengalaman yang lebih luas dan dapat digunakan pada masa hadapan.

“Masa zaman saya dulu, di peringkat umur sebegini lebih berharap kepada pertandingan di peringkat sekolah semata-mata.

Pertandingan akar umbi memang tiada dulu, sekarang banyak pertandingan dan pendedahan kepada pemain-pemain muda ketika ini.”

Usaha dan komitmen yang dilakukan oleh Tengku Shakirinal turut diakui oleh jurulatih pasukan B-9 tahun, Amin Yaakob dalam meletakkan para pemain yang mewakili pasukan TSS FC berada di suatu tahap yang baik.

Terdahulu, pasukan B-9 tahun baru sahaja berjaya meraih kejuaraan dalam kejohanan JSSL Singapore Professional Academy 7’s yang berlangsung di Tampines, Singapura.

“Tengku Nana memberi peluang dan tidak kedekut kerana beliau sedar dengan potensi besar yang dimiliki oleh anak-anak ini.

Saya ingin berterima kasih kepada Tengku kerana memberi peluang kepada saya dan pemain-pemain untuk mengembangkan potensi.”

Selain daripada pendedahan, corak permainan yang diterapkan kepada semua pemain turut membantu dalam membentuk sebuah pasukan yang mampu memberi saingan di kejohanan-kejohanan besar.

Pengurus pasukan, Nur Izwani Hafiz menganggap prinsip yang dipegang oleh kesemua pemain menjadi pembakar semangat untuk mereka memberi aksi yang terbaik demi pasukan.

“Konsep latihan di sini kita mengamalkan pendekatan ‘wolfpack’ yang kita selaraskan dalam pasukan kita.

Corak permainan yang lebih menekankan kepada elemen kerjasama pasukan.”

Ditubuhkan pada pertengahan 2019, kelab ini semakin berkembang menjadi sebuah pasukan elit di Malaysia.

Seramai lima orang pemain TSS FC sudah berjaya menempatkan diri ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bagi kemasukan tahun hadapan.

Peningkatan demi peningkatan ini dilihat sendiri oleh jurulatih, Yusri Maasom yang turut berperanan besar dalam melatih pemain-pemain ini sejak kelab ditubuhkan.

“Saya mengikuti perkembangan pasukan ini dari awal, memang nampak banyak perubahan yang telah berjaya dicapai oleh pemain-pemain.

Ini kerana mereka memiliki pendedahan bermain di kejohanan luar yang mempunyai perbezaan ketara dengan kejohanan tempatan dari segi taktikal dan cabaran yang perlu dihadapi.

Diharap agar kelab ini akan terus berkembang dan menjadi salah sebuah kilang penghasilan bakat muda berkualiti buat negara di masa hadapan.