Sukan permotoran Malaysia mampu pergi jauh jika peraturan kejohanan lebih adil – Khairulamirin Yahaya
Pelumba Supermoto negara, Khairulamirin Yahaya berpendapat bahawa sukan permotoran di negara ini mampu pergi lebih jauh sekiranya peraturan perlumbaan dikuatkuasakan dengan lebih baik oleh penganjur.
Menurutnya, setiap kejohanan yang dianjurkan oleh penganjur tempatan haruslah mempunyai undang-undang bagi mengelakkan ketidakadilan berlaku kepada para peserta.
“Kita tak mahu sukan permotoran jadi seperti rempit di mana semua motor mempunyai spesifikasi berlainan.
Jika kita ingin maju dalam sukan permotoran, penganjur harus mengetatkan peraturan di mana tiada perbezaan dari segi spesifikasi jentera supaya tidak berlaku penipuan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain itu, pelumba berusia 20 tahun itu berkata, ibu bapa juga harus memainkan peranan untuk menyokong minat anak-anak mereka dan mengubah pemikiran mengenai sukan permotoran.
Katanya, walaupun ia adalah satu bidang yang bahaya, ia adalah lebih baik daripada membiarkan anak-anak merempit tanpa sebarang perlindungan keselamatan.
Sementara itu, menurutnya, sebagai permulaan mereka di luar sana yang berminat untuk terlibat dalam sukan ini boleh bermula dengan kejuaraan Cub Prix terlebih dahulu dan tidak semestinya terus menceburkan diri dengan jentera besar.
“Saya sendiri bermula dengan kejohanan Cub Prix dan saya lihat ia adalah satu platform yang amat bagus bagi mereka yang mahu memulakan karier dalam sukan permotoran.
Kita juga ada banyak litar yang bagus di negara ini buat mereka yang baru bermula seperti di Kuala Selangor, Tangkak, UniMAP, Gong Badak dan lain-lain.”
Dalam pada itu, beliau turut menceritakan pengalaman ngeri terlibat dalam kemalangan ketika berlumba di Sepanyol sehingga terpaksa dimasukkan besi dalam tulang pelvisnya.
Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika sesi latihan terakhir di Valencia apabila beliau tersilap mengawal jenteranya.
“Saya jatuh terseret dan kemudian motor menghempap tulang pelvis saya sehingga ada bunyi crack.
“Saya terpaksa duduk di hospital selama 46 hari dan lakukan dua pembedahan, satu untuk membetulkan arteri saya dan lagi satu untuk letakkan besi pada tulang pelvis.
Menurutnya, besi tersebut membuatkannya mengalami pergerakan terhad dan hanya boleh menaiki motor dari sebelah kanan.
Beliau juga tidak boleh berlari dan buat masa ini hanya menjadikan aktiviti renang sebagai kardio buat dirinya.