Azam Azih akui prestasi terganggu, keyakinan menurun gara-gara kecederaan lutut
Pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih mengakui sukar baginya untuk menampilkan prestasi yang baik seperti dahulu akibat kecederaan lutut yang dialaminya sejak 2017.
Menurutnya, beliau terpaksa mengambil pil tahan sakit setiap kali sebelum perlawanan dan mengikat lutut menggunakan pita apabila sesi latihan.
“Permainan saya dah tak sama macam dulu disebabkan sakit di bahagian meniscus, itu yang mengganggu prestasi saya dalam liga kerana tak boleh betul-betul push.
Saya seorang pemain yang gemar lakukan pintasan (interception) tetapi sakit yang saya alami ini membuatkan saya sukar untuk buat demikian, jadi keyakinan saya agak kurang,”
katanya.
Namun beliau berkata dirinya tiada masalah untuk memberikan yang terbaik sekiranya diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk bermain.
Dalam pada itu, beliau tidak merasakan ketiadaan Syamer Kutty Abba dalam pasukan kebangsaan kali ini akan menjejaskan permainan pasukan kerana terdapat pemain berbakat lain seperti Brendan Gan dan Nazmi Faiz Mansor.
Katanya, dalam dua hari sesi latihan yang dijalankan, ketua jurulatih, Kim Pan-gon ada mencuba gandingan beliau dan Gan di bahagian tengah.
“Saya lihat kelebihan pada bertahan ada pada brendan dan gandingan kami ada nampak sedikit keserasian dalam dua hari sesi latihan ini dan akan terus tingkatkan prestasi.
Bagi saya tiada masalah untuk bermain dengan sesiapa dan saya pun dah biasa main bersama Gan dan Nazmi sebelum ini.”
Menurut Azam, beliau akan menjadi kejohanan King’s Cup di Thailand itu sebagai medan untuknya mencari keyakinan semula dalam permainannya.
Malaysia bakal berdepan Thailand pada 22 September ini, sebelum bertemu sama ada Trinidad & Tobago atau Taijikistan pada perlawanan kedua yang dijadualkan pada 25 September.