Skuad ini bakal menjadi Harimau Malaya terbaik pada masa akan datang – Faisal Halim
Pemain sayap lincah, Faisal Halim mengakui gabungan ramai pemain muda berkualiti dan pemain berpengalaman yang disenaraikan oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk kejohanan King’s Cup Thailand 2022 bakal menjadi skuad terbaik negara.
Ini kerana menurut Faisal Halim, barisan pemain muda yang dibawa kali ini adalah sebahagian daripada perancangan Pan-gon untuk menyusun skuad untuk menghadapi kejohanan Piala Asia 2023.
“Selepas tiga hari berlatih bersama kesemua pemain, semua pemain cukup bersemangat dan bersedia untuk menghadapi Thailand pada perlawanan pertama nanti.
Apa yang saya boleh katakan ini adalah skuad yang mungkin bakal menjadi skuad terbaik negara pada masa akan datang kerana skuad yang ditampilkan kali ini adalah daripada kalangan pemain muda, senior dan bukannya pemain berusia sangat.
Satu lagi, dalam skuad kali ini tiada pemain bintang dan apa yang penting semua akan bekerjasama untuk pamer aksi terbaik nanti,”
katanya.
Dalam perlawanan pembukaan King’s Cup Thailand yang akan berlangsung di Chiang Mai, skuad negara akan bertemu tuan rumah Thailand pada 22 September ini.
Faisal Halim turut mengakui dengan adanya ramai pemain muda berkualiti seperti Arif Aiman, ia pasti akan membuatkan skuad negara lebih ampuh.
“Kita tidak boleh nafikan kita mempunyai pemain sayap berbakat besar iaitu Arif Aiman. Saya akui beliau merupakan seorang pemain muda yang cukup berkualiti dan saya bangga dengan beliau.”
Pan-gon dijangka akan menggandingkan dua pemain sayap lincah Arif Aiman di sebelah dan kanan dan Faisal Halim di sebelah kiri yang dijangka mampu mengucar-kacirkan barisan pertahanan lawan.
Sementara itu, Faisal Halim berkata sasaran mereka untuk kejohanan kali ini adalah untuk layak ke perlawanan akhir.
“Coach Pan-gon berkata pada kami setiap kejohanan yang kami sertai kami akan sasar untuk layak ke perlawanan akhir.”
Selain Malaysia dan Thailand, dua pasukan yang akan turut bersaing dalam kejohanan ini adalah Tajikistan dan Trinidad And Tobago.