Kelab komuniti, Setiawangsa Rangers lahir produk berkualiti wakil negeri dan negara

322

Walaupun hanyalah sebuah pasukan bola sepak komuniti, Setiawangsa Rangers telah berjaya melahirkan beberapa pemain yang berjaya mencapai peringkat negeri, malah terpilih mewakili kebangsaan.

Intan Zainal Azhar, 16, yang mula menyertai pasukan futsal wanita Setiawangsa Rangers pada 2020 baru-baru ini mewakili skuad B-17 wanita negara di kejohanan UEFA Assist Girl 2022 di Mongolia.


Menurutnya, kelab tersebut banyak membantunya meningkatkan tahap permainan sehingga berjaya mewakili negara.

“Setiawangsa Rangers banyak membantu dari segi penajaan serta mencungkil bakat para pemain untuk ke tahap yang lebih jauh yang sebelum ini orang lain tak nampak.

Saya bersyukur kerana rezeki saya terpilih untuk mewakili negara, saya belajar banyak ketika berada dalam skuad kebangsaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain yang dicungkil daripada Setiawangsa Rangers adalah pemain Piala Belia KL City FC, Danish Zikry Zubir yang menyertai kelab itu sejak usianya 15 tahun.

Beliau berterima kasih kepada kelab itu serta barisan kejurulatihan kerana mengasah bakatnya hingga ke hari ini.

“Setiawangsa Rangers ini banyak beri pendedahan kepada anak muda dengan bantuan jurulatih, Alhamdulillah saya dah sampai ke tahap ini.”

Beliau berharap, kelab itu akan terus berkembang dan berjaya menyertai Liga Malaysia pada masa depan bermula dengan Liga M3.