Jersi Michael Jordan terjual RM45,919,650, tidak mustahil legenda negara bakal ikut jejak sama

240

Baru-baru ini, sebuah jersi yang pernah dipakai oleh legenda bola keranjang dunia, Michael Jordan telah berjaya dijual dengan tanda harga RM45,919,650.

Jersi itu pernah dipakai oleh pemain tersebut dalam perlawanan pertama NBA Finals pada tahun 1998 di mana beliau berjaya memenangi kejuaraan NBA buat kali keenam bersama pasukan Chicago Bulls.


Meskipun kalah pada perlawanan tersebut, Chicago Bulls kembali bangkit pada baki perlawanan seterusnya untuk memenangi kejuaraan pada tahun tersebut dengan keputusan 4-2.

Kejayaan membantu pasukannya mendapatkan kejuaraan membantu Jordan untuk dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada tahun tersebut.

Lebih menarik, jualan tersebut secara langsung telah mengatasi harga tertinggi yang pernah dicatat sewaktu jualan jersi yang pernah dipakai oleh mendiang Diego Maradona pada perlawanan Piala Dunia 1986.

Jersi tersebut dijual pada tanda harga RM41,305,700 mempunyai nilai tersendiri kerana dipakai oleh Maradona sewaktu menjaringkan gol kontroversi ‘Hand of God’ sewaktu menentang England di kejohanan tersebut.

Berdasarkan situasi ini, tidak mustahil sekiranya akan ada atlet dari negara kita yang berjaya mencapai tahap seperti ini.

Kita mempunyai sebilangan bekas atlet yang pernah berada di tahap tertinggi di dalam sukan masing-masing seperti jaguh badminton dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei (DLCW).

Chong Wei cukup terkenal dengan kehebatan beliau di arena badminton antarabangsa selepas beliau berjaya menjadi pemain No. 1 Dunia selama 349 minggu serta menjadi pemain tertua yang pernah memenangi gelaran di kejohanan Terbuka England di era terbuka.

Selain itu, beliau juga telah memenangi sebanyak 64 kejuaraan Persatuan Badminton Dunia (BWF) sepanjang kariernya.

Dalam kalangan peminat badminton, Chong Wei sudah semestinya antara ikon yang akan terus dikenang sama seperti yang dilakukan terhadap Jordan dan Maradona.

Selain Chong Wei, jaguh skuasy dunia, Datuk Nicol Ann David juga merupakan antara atlet kebanggaan negara yang pernah menempa nama di dalam acara sukan yang diwakilinya.

Sepanjang bergelar atlet profesional, Nicol berjaya merangkul 81 kejuaraan dunia dan pernah mencipta rekod selepas memenangi Terbuka Dunia sebanyak lapan kali dari tahun 2005 sehingga 2014.

Nicol cukup disegani di dalam sukan skuasy kerana beliau antara atlet yang cemerlang di dalam sukan tersebut dengan kejayaannya menjadi pemain No. 1 Dunia selepas 108 bulan berturut-turut.

Kehebatan ini amatlah dikagumi bukan sahaja di Malaysia malah oleh peminat sukan skuasy di seluruh dunia.

Kejayaan kedua-dua orang legenda negara ini membolehkan mereka untuk terus dikenang sebagai antara individu yang paling berjaya di dalam sukan masing-masing dan tidak mustahil jersi yang pernah dipakai oleh mereka akan dapat dijual dengan harga yang tinggi suatu hari nanti.