Sudah tiba pengurusan kelab Liga Malaysia adakan sesi Q&A dengan peminat secara terbuka

597

Bola sepak ‘kosong’ atau nothing tanpa peminat! Itulah hakikat yang perlu diterima oleh setiap pengurusan kelab bola sepak tidak kira di Liga Malaysia mahupun di liga luar negara.

Peminat memainkan peranan yang cukup penting kerana mereka bukan sahaja akan hadir ke stadium untuk menyokong pasukan kesayangan, tetapi juga mengeluarkan wang mereka sendiri sekaligus akan menjana pendapatan kelab.


Oleh itu, adalah penting untuk setiap pengurusan kelab untuk menjaga hubungan baik mereka dengan peminat termasuk bersikap telus.

Di Liga Malaysia boleh dikatakan kebanyakkannya mengambil pendekatan ‘berahsia’ dengan peminat apabila segala permasalahan yang berlaku tidak dikongsi dengan peminat langsung sehingga timbul pelbagai spekulasi negatif.

Tidak dapat dinafikan ada beberapa perkara yang tidak boleh dikongsikan dengan peminat, tetapi selebihnya perlu dikongsi dengan peminat supaya mereka sentiasa mengetahui apa yang berlaku dengan pasukan kesayangan mereka.

Contoh terbaik adalah juara lapan kali Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mana pengurusan mereka sangat proaktif dalam memberikan maklumat terbaru mengenai kelab.

Malah pemilik JDT sendiri iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris sangat mengambil berat dengan rintihan peminat, malah beliau sendiri mengarahkan pengurusan kelab untuk mengadakan sesi soal jawab bersama para peminat.

Beberapa bulan lalu JDT sudah membuat satu sesi soal jawab dan terbaru satu lagi sesi bersama TMJ akan berlangsung pada hari ini 20 September pada pukul 8.00 malam.

Menariknya sesi ini tidak terikat kepada kelab penyokong sahaja, sebaliknya semua peminat JDT dijemput hadir untuk melontarkan apa sahaja persoalan mengenai kelab kepada TMJ untuk dijawab.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk datang, JDT turut mengadakan sesi soal jawab itu secara ‘Live’ di sosial media rasmi mereka.

Ini adalah satu tindakan yang patut dicontohi oleh kesemua kelab di Liga Malaysia supaya bersikap lebih terbuka dengan peminat kerana jika pengurusan melakukan kerja dengan betul, buat apa mahu rahsiakan daripada peminat.

Dengan Liga Malaysia akan diswastakan sepenuhnya pada musim depan, diharap setiap pengurusan kelab akan bersikap lebih terbuka bukan sahaja kepada peminat tetapi juga kepada pihak media.

Seperti slogan oleh Malaysian Football League (MFL), ‘Ini Liga Kita’, sama-sama kita majukan dan bawa Liga Malaysia ke peringkat lebih tinggi!