Kami akan kekalkan reputasi kami dan sasar jadi juara di Piala AFF 2022 nanti – Wan Adremy Indera

279

Ketua jurulatih skuad bola sepak pantai kebangsaan, Wan Adremy Indera Wan Adnan menyuarakan keyakinan mereka untuk menjulang trofi Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022 yang akan berlangsung di Chonburi, Thailand hujung bulan ini.

Menurut Wan Adremy, beliau mahu pemain-pemainnya mengekalkan reputasi skuad negara sebagai juara apabila tahun lalu mereka yang beraksi untuk Markless Komii dari Terengganu telah berjaya menjulang trofi AFF kelab bola sepak pantai.


“Sasaran saya sendiri adalah kami mahu jadi juara kerana kita perlu kekalkan reputasi kita pada tahun lepas. Tambahan pula kebanyakan pemain yang kita pilih kali ini pun adalah pemain sama yang beraksi pada tahun lepas,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Wan Adremy lagi, pemain tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk mencipta keserasian langsung walaupun hanya mempunyai kem latihan berpusat selama lima hari sahaja berikutan kesemua pemain ini sudah bersama sejak 2015.

Walaupun kesemua pemain sudah hampir tujuh tahun bersama, namun purata umur pemain negara sekitar 25 tahun berikutan mereka ini dipilih sejak berusia 18 tahun.

Dalam pada itu, walaupun turun sebagai pasukan pilihan, namun pengendali daripada Terengganu itu enggan mengambil mudah dengan lawan yang bakal mereka temui sebaliknya akan tetap fokus untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Kita sedia maklum bola sepak pantai di Asia ini tidak meluas, jadi semua pasukan ada peluang tetapi ia bergantung kepada taktikal dan kualiti seseorang pemain itu.”

Selain Malaysia dan tuan rumah Thailand, Indonesia dan Vietnam turut akan menyertai kejohanan ini yang akan berlangsung dari 26 September hingga 1 Oktober ini.