Zaharim Yusof harap lebih banyak kejohanan bola sepak pantai, optimis rangkul kejuaraan di Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022
Ketua pasukan bola sepak pantai negara, Zaharim Yusof memasang impian untuk melihat lebih banyak kejohanan yang akan diadakan pada masa hadapan di Malaysia.
Buat masa ini, kejohanan sukan bola sepak pantai adalah terhad dan kurang mendapat sambutan daripada peminat.
“Kena banyakkan lagi kejohanan-kejohanan seperti MPFL untuk futsal, harap FAM dapat anjurkan satu kejohanan untuk bola sepak pantai,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, pasukan negara kini sedang melakukan persiapan terakhir menjelang aksi di Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF tahun ini yang berlangsung di Thailand bermula 26 September sehingga 1 Oktober.
Kebanyakkan pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih, Wan Adremy Indera adalah dari pasukan Markless Komi yang pernah mewakili Malaysia sebelum ini di Kejuaraan Bola Sepak Pantai tahun lalu.
Mereka berjaya muncul juara pada edisi tersebut selepas menewaskan pasukan Thailand B, 5-3 pada perlawanan terakhir.
“Kalau ikutkan kita ada dalam lima hari untuk berlatih, dalam masa tersebut kami perlu mengikut sepenuhnya arahan jurulatih.
Rata-rata pemain ini berasal daripada Terengganu dan kami sudah mula berlatih dari sana.”
Meskipun begitu, tempoh persiapan yang sedikit singkat tahun ini mungkin akan menyebabkan pasukan negara sedikit bergelut untuk mengekalkan kejuaraan mereka.
Namun, besar harapan daripada peminat untuk melihat para pemain dapat mengekalkan momentum sebelum ini untuk terus cemerlang di Thailand.
“Untuk bersaing dengan pasukan Thailand mungkin sedikit susah kerana mereka sudah mula berlatih sejak tiga hingga empat bulan.
Tetapi dengan kelebihan pemain dan jurulatih sedia ada, saya yakin kita mampu lakukan sesuatu.”
Pasukan Indonesia mungkin menjadi pencabar baru buat skuad negara kerana tidak banyak maklumat yang dapat dikumpul buat masa ini tentang kekuatan lawan tersebut.
Zaharim dan rakan sepasukan perlu memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kejutan dan cabaran sepanjang pertandingan.
“Thailand dan Timor Leste mungkin tidak menjadi masalah besar berdasarkan keputusan pada perlawanan sebelum ini.
Hanya, Indonesia yang kita tidak pasti sama ada mereka akan menggunakan pemain baru atau tidak.”