Cadangan untuk pemain Melaka United FC diberi peluang beraksi dengan pasukan lain di Piala Malaysia boleh dipertimbang
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah mengeluarkan satu kenyataan yang mencadangkan Malaysian Football League (MFL) memberi pelepasan khas buat pemain Melaka United FC untuk beraksi bersama pasukan lain dalam saingan Piala Malaysia.
Ia adalah susulan slot untuk pasukan Melaka United untuk beraksi di Piala Malaysia telah dibatalkan berikutan gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh MFL sebelum ini.
Peminat kini sedang menanti keputusan MFL untuk mengumumkan pasukan yang akan menggantikan Melaka United dan jika dilihat secara matematiknya pasukan Penang FC dijangka akan mendapat slot tersebut.
Bagaimanapun perkara itu masih belum dapat disahkan kerana MFL sendiri akan membuat pengumuman berhubung perkara itu dalam masa terdekat ini.
Cadangan oleh PFAM ini mungkin boleh dipertimbangkan berikutan pemain skuad Hang Tuah itu kini berada dalam keadaan tersepit kerana masih belum menerima sebarang bayaran gaji dan bergelut untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.
Jika MFL memberikan pelepasan khas ini sudah pasti banyak pasukan yang akan beraksi di Piala Malaysia nanti akan mengambil peluang ini untuk mendapatkan khidmat pemain daripada Melaka United sekaligus membantu pemain ini dari segi soal kewangan.
Bagaimanapun perkara ini mungkin akan menjadi sedikit rumit berikutan proses pendaftaran pemain yang sudah lama ditutup selain pemain mempunyai kontrak.
Apa pun ia semuanya bergantung kepada budi bicara pihak MFL untuk membuat keputusan samada untuk memberikan pelepasan khas atau sebaliknya.
Situasi yang berlaku pada pasukan Melaka United ini adalah sesuatu yang malang kerana mereka mempunyai pemain yang berkualiti dan sentiasa menjadi pasukan yang mampu beri tentangan sengit terutamanya kepada pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman FC, Sabah FC dan beberapa lagi.
Seluruh peminat bola sepak mendoakan agar isu tunggakan gaji pemain Melaka United ini akan selesai dalam masa terdekat ini supaya mereka dapat kembali menjalani kehidupan dan bermain bola sepak seperti sedia kala.