K. Ramachandran tak anggap PIB FC adalah pasukan pilihan menjelang perlawanan akhir Liga M3
Ketua jurulatih PIB FC, K. Ramachandran berkata beliau tidak merasakan bahawa pasukannya adalah pasukan pilihan menjelang perlawanan akhir saingan Liga M3 yang akan berlangsung esok menentang KL Rovers FC.
Ramachandran berkata demikian kerana sebelum ini dalam dua perlawanan di peringkat kumpulan, pertembungan antara kedua-dua pasukan ini berakhir dengan keputusan seri.
“Sebelum ni memang dua-dua pasukan seri, dua kali main dua kali seri. Tapi untuk final ini berbeza sedikit jadi kami akan berikan aksi yang terbaik.
Saya tidak menganggap PIB sebagai pasukan pilihan, dan kami akan bermain permainan kami seperti biasa,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau juga berkata persiapan pasukan berjalan dengan lancar dan kesemua pemainnya bebas dari sebarang kecederaan dan juga penggantungan.
Tambahnya lagi, beliau menyedari KL Rovers kehilangan dua tonggak utama mereka akibat penggantungan tetapi beliau tidak boleh ambil mudah dan menganggap ia sebagai kelebihan buat anak buahnya.
Sebaliknya beliau mahu pemainnya bermain mengikut perancangan yang sudah diatur dan fokus pada permainan mereka sahaja.
Dalam pada itu, ketua pasukan PIB iaitu Ali Imran Alimi memberitahu bahawa setiap pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan akhir esok.
“Sepanjang tempoh dua minggu ini kesemua pemain bersaing secara sihat dan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan akhir esok. Kami juga teruja dan tidak sabar untuk turun beraksi.”
Terdahulu, PIB telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menewaskan Imigresen FC dengan agregat 3-1 di perlawanan separuh akhir, sekaligus menempah tiket ke final untuk merebut trofi Liga M3.
Pertembungan antara PIB dan KL Rovers akan berlangsung pada malam esok di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.