Masa Alexandre Polking di Thailand sudah tamat? Seorang lagi jurulatih Korea Selatan bakal gegarkan ASEAN

3,462

Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking jelas kecewa selepas anak buahnya tewas kepada Malaysia menerusi penentuan penalti pada perlawanan King’s Cup semalam.

Beliau meminta maaf kepada para penyokong yang hadir memberi sokongan padu kepada pasukan pada perlawanan itu dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan itu.


Walaupun ia hanyalah perlawanan persahabatan, skuad Thailand dilihat amat kecewa sehinggakan Supachok Sarachat yang gagal menyempurnakan penalti menangis di akhir perlawanan.

Pengurus pasukan Thailand, Nualphan Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madam Pang juga turut meminta maaf kepada para penyokong gara-gara kekalahan itu.

Tidak sampai setahun membawa Thailand menjuarai Piala AFF, kedudukan Polking dilaporkan tidak selamat disebabkan kegagalan pasukan itu menunjukkan peningkatan prestasi.

Bahasa badan yang ditunjukkan oleh para pemain dalam perlawanan semalam juga seakan-akan sudah tidak ‘sebulu’ dengan Polking lagi.

Keputusan perlawanan seterusnya menentang Trinidad & Tobago juga sudah tidak bermakna lagi selepas tewas kepada Malaysia yang merupakan salah satu musuh utama di rantau ASEAN.

Sebelum ini, terdapat khabar angin bahawa Thailand mahu mengikuti jejak Malaysia, Vietnam dan Indonesia melantik warga Korea Selatan sebagai ketua jurulatih.

Ia disebabkan jurulatih berusia 46 tahun itu gagal memastikan anak buahnya menampilkan aksi yang baik apabila bertemu pasukan-pasukan Asia yang lebih kuat seperti kekalahan kepada Uzbekistan pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu.

Nama bekas ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan wanita Korea Selatan, Yoon Deok-yeo disebut-sebut menjadi pilihan pihak pengurusan FAT untuk menggantikan Polking.

Antara kejayaan Deok-yeo ketika menjadi jurulatih adalah membawa pasukan wanita Korea Selatan layak ke Piala Dunia Wanita pada tahun 2015 dan 2019.

Beliau juga pernah mengendalikan beberapa kelab ternama di K-League antaranya Pohang Steelers, Ulsan Hyundai, Gyeongnam FC dan Chunnam Dragons.

Sekiranya Thailand turut mengambil jurulatih dari Korea Selatan, mungkin selepas ini lebih banyak lagi pasukan di rantau ini akan turut mengikut langkah tersebut, lebih-lebih dengan kejayaan yang dipamerkan jurulatih dari negara itu.