Saingan Liga Malaysia belum habis tapi banyak pasukan sudah rancak buat persiapan untuk musim 2023
Selepas pengumuman penstrukturan saingan Liga Malaysia pada musim hadapan oleh Malaysian Football League (MFL), seluruh pasukan yang beraksi termasuk majoriti peminat bola sepak tanah air menyambut baik penstrukturan itu.
Penstrukturan Liga Malaysia pada musim depan akan menyaksikan saingan Liga Super akan mempunyai 18 pasukan berbanding 12 pasukan pada musim ini.
Manakala saingan Liga Perdana pula akan dimansuhkan buat sementara waktu sebelum ia akan kembali dengan jenama baru iaitu Liga M2 sekitar musim 2024 atau pun 2025.
Bagaimanapun paling menarik adalah MFL mewujudkan satu liga baru iaitu Liga Simpanan yang akan dikhaskan kepada pemain bawah 23 tahun untuk memberikan mereka peluang untuk mendapatkan minit permainan dan diserap ke skuad utama.
Kehangatan saingan Liga Super pada musim hadapan sudah pun dapat dirasai ketika ini apabila beberapa pasukan kini sedang rancak membuat perancangan untuk menghadapi musim 2023.
Antara yang terawal membuat perubahan dalam pasukan adalah Perak FC yang baru sahaja melantik bekas Pengarah Akademi Mohktar Dahari (AMD) dan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih yang baru.
Susulan pelantikan Teong Kim, pengendali berusia 59 tahun kini sedang menilai pemain-pemain yang bakal dibawa masuk bagi menyarung jersi The Bos Gaurus pada musim depan dengan misi mahu mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu selepas mengalami detik hitam sebelum ini.
Pasukan Selangor FC juga tidak menunggu sehingga habis musim untuk ‘merombak’ pasukan mereka apabila Gergasi Merah Kuning itu baru sahaja mengumumkan ketua jurulatih baru mereka iaitu Tan Cheng Hoe bagi menggantikan Michael Feichtenbeiner yang kembali menjadi Pengarah Teknikal.
Cheng Hoe merupakan bekas ketua jurulatih negara dan juga Kedah FA sebelum ini yang mana beliau sangat terkenal dengan corak permainan tiki-taka.
Selain ketua jurulatih, Selangor juga dikatakan bakal membawa masuk beberapa pemain baru termasuk pemain pinjaman, namun ia masih belum dapat disahkan buat masa ini.
Sri Pahang FC juga sebelum ini telah membuat pertukaran ketua jurulatih apabila kembali menggunakan khidmat Dato’ Dollah Salleh sebagai pengendali selepas mereka melepaskan Christophe Gamel.
Malah pengurusan Tok Gajah turut membawa masuk lagenda Singapura dan Pahang, Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal dan gabungan kedua-dua figura itu telah menyaksikan kebangkitan luar biasa Sri Pahang.
Terbaru, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) juga kini dikhabarkan sedang membuat perubahan sejak pasukan itu sudah diswastakan sepenuhnya baru-baru ini.
Dikatakan khidmat pengendali daripada Singapura, Aidil Sharin Sahak tidak akan digunakan lagi selepas empat tahun bersama skuad Sang Kenari.
Terdapat dua nama yang dikaitkan dengan pasukan KDA sebelum ini iaitu Tan Cheng Hoe dan Nafuzi Zain.
Memandangkan Cheng Hoe kini sudah dilantik sebagai pengendali baru Selangor, maka nama pengendali Terengganu FC, Nafuzi sedang menjadi bualan peminat dan ada juga khabar yang memberi bayangan Nafuzi dan pengurusan KDA sudah mencapai persetujuan.
Jika benar pengendali berusia 44 tahun ke Darul Aman pada musim depan, KDA mungkin akan menukar corak permainan mereka kepada ‘Nafuzi Ball’.
Terengganu ketika ini sudah pasti sedang giat membuat percaturan untuk musim depan berikutan Nafuzi dan pemain utama mereka Faisal Halim dikatakan akan berhijrah.
Rasanya tidak lengkap jika tidak menyebut mengenai juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sememangnya sentiasa menjadi tumpuan ramai dengan kejutan-kejutan yang sering dilakukan.
Sebelum ini JDT telah mengejutkan ramai apabila melepaskan Benjamin Mora sebagai ketua jurulatih dan menggantikannya dengan Hector Bidoglio dan membawa masuk pemain pertahanan Jordi Amat.
Untuk musim depan, JDT dijangka akan membawa beberapa pemain baru termasuk kapten pasukan kebangsaan Dion Cools yang kini sedang beraksi bersama FC Jablonec di Czech First League.
Jangkaan hujung tahun ini sehingga awal tahun hadapan bakal menjadi tempoh paling sibuk buat kesemua pasukan yang beraksi di Liga Malaysia dengan masing-masing akan cuba membentuk skuad terkuat bagi menghadapi musim 2023.
Jadi sama-sama kita ikuti perkembangan setiap pasukan dari semasa ke semasa untuk menyaksikan kejutan yang bakal dilakukan oleh pasukan kegemaran anda.