Isu Nooa Laine terus berpanjangan, bukan masa untuk terus menuding jari

2,573

Ejen kepada pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan tuduhan bahawa beliau dan bapanya, Faried Bahari meminta sejumlah wang daripada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bermain.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, X-One Agency menerangkan bahawa wang tersebut adalah berdasarkan perjanjian bersama FAM sebelum ini dalam menanggung kos yang perlu ditanggung oleh mereka untuk ke Malaysia bagi menyelesaikan masalah dokumentasi.


Mereka juga sedikit kecewa dengan badan induk tersebut yang dianggap tidak profesional di atas kegagalan mereka menunaikan janji dan sekadar melepaskan tanggungjawab begitu sahaja.

Buat masa ini, urusan mendapatkan pasport Nooa masih tergendala kerana terdapat beberapa prosedur yang masih belum selesai.

Oleh kerana itu, pemain yang kini beraksi bersama kelab SJK Seinajoki tersebut tidak dapat dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan.

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut terus mendapat reaksi yang pelbagai dari kebanyakan peminat bola sepak negara yang melihat alasan tersebut tidak masuk akal.

Lebih-lebih lagi, ada beberapa pemain kacukan sebelum ini yang tidak mengharapkan sebarang bantuan berbentuk kewangan daripada FAM untuk menyelesaikan urusan dokumentasi.

Pihak Nooa sebenarnya perlu mencari penyelesaian yang lebih proaktif bagi memastikan beliau tidak terlepas peluang untuk beraksi mewakili Malaysia hanya kerana permasalahan yang kecil.

Nooa merupakan antara prospek muda yang mampu memberikan impak besar kepada pasukan negara di masa hadapan.

Pemain berusia 19 tahun tersebut telah membuat empat penampilan di dalam pusingan kelayakan UEFA Europa Conference League musim ini dan berjaya menjaringkan satu gol sewaktu tewas di tangan Lillestrom SK dari Norway.

Nooa sebelum ini dikhabarkan telah menerima panggilan buat kali kedua untuk bersama-sama skuad senior Harimau Malaya di kejohanan King’s Cup tahun ini namun perkara tersebut dibatalkan secara tiba-tiba.

Terdahulu, panggilan pertama beliau adalah untuk bersama skuad kebangsaan B-23 tahun yang ketika itu berada di bawah bimbingan Brad Maloney.

Kedua-dua usaha ini menemui jalan buntu atas alasan dokumentasi beliau yang masih belum selesai sehingga ke hari ini.

FAM sudah berusaha sehabis baik bagi mempercepatkan lagi proses ini selesai untuk membolehkan para peminat dapat melihat kelibat pemain ini dalam masa terdekat.

Ketua jurulatih skuad B-23 yang baru, E. Elavarasan juga dapat memanfaatkan pengalaman beliau beraksi di Eropah dalam usaha memperkuatkan skuad muda tersebut bagi menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula tidak lama lagi.

Selain Nooa, ada beberapa pemain kacukan muda yang kini masih berada di dalam radar pasukan negara seperti Richard Chin yang kini beraksi bersama pasukan Charlton Athletic di England serta pemain AFC Telford United, Kobe Jae Chong.