Safawi tahu kebolehan beliau sebagai ketua pasukan negara, sokongan TMJ terus jadi penguat semangat

355

Pemain pasukan negara, Safawi Rasid optimis terhadap kemampuannya meskipun pemilihan beliau sebagai salah seorang ketua pasukan menerima beberapa reaksi negatif daripada peminat Harimau Malaya.

Kebanyakan daripada peminat beranggapan bahawa pemilihan tersebut kurang sesuai kerana pemain tersebut memiliki minit permainan yang rendah bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.


“Saya tahu apa kebolehan saya, tidak lupa kepada Tunku Mahkota Johor yang sering memberi sokongan walaupun saya macam roda.

Di JDT juga memiliki fasiliti mencukupi untuk saya mengekalkan kecergasan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga tidak ingin mengulas dengan lebih lanjut terhadap komen-komen negatif yang diterimanya dalam membandingkan beliau bersama dua orang lagi pemain iaitu Dion Cools dan Brendan Gan.

“Saya tidak komen apa-apa kerana itu adalah pilihan jurulatih, kami hanya mengikuti arahan bagi siapa yang dipilih dan menjadi kegemaran beliau.”

Meskipun baru kembali bersama pasukan, Brendan dicanang sebagai calon untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan dengan ketiadaan Farizal Marlias di dalam skuad.

Ini adalah berdasarkan minit permainan serta status Brendan yang lebih menonjol bersama pasukan Selangor FC.

Meskipun begitu, Safawi telah berjaya mempamerkan aksi menyakinkan ketika diturunkan pada kedua-dua perlawanan di dalam saingan King’s Cup tahun ini.

Kreativiti yang dimiliki oleh Safawi berjaya membantu beliau menghasilkan sebuah hantaran cantik kepada rakan sepasukan, Corbin Ong untuk menjaringkan gol penting pada perlawanan pertama menentang tuan rumah, Thailand.           

“Bagi saya dan pasukan ini adalah sebuah keputusan yang positif tambahan pula kita berlawan dengan pasukan di ranking yang lebih tinggi.

Kami sangat berpuas hati kerana kita hanya kalah dengan penentuan penalti dan berjaya mengumpul mata.”

Pemain berusia 25 tahun ini percaya pemilihan yang dilakukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon kali ini berjaya menghasilkan sebuah suasana yang cukup harmoni di dalam pasukan dan berjaya diterjemahkan dengan aksi di atas padang.

Beberapa nama baru seperti Azam Azmi Murad serta Declan Lambert berjaya menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain utama seperti Syamer Kutty yang masih menjalani proses pemulihan.

“Panggilan ini lebih kepada harmoni dan perkara itu membantu kita untuk mencapai keputusan yang baik kali ini.”

Momentum ini perlu diteruskan agar pasukan negara dapat mempamerkan aksi yang lebih menyakinkan di Piala AFF selepas ini sebelum melangkah ke kejohanan Piala Asia tahun hadapan.