Liga M3 dah selesai, namun perlawanan play-off untuk ke Liga Super masih belum ditetapkan
Liga M3 baru sahaja menutup tirainya hujung minggu lalu dengan PIB FC dinobatkan sebagai juara setelah menewaskan KL Rovers FC pada perlawanan akhir.
PIB membawa pulang RM100,000 sebagai juara manakala KL Rovers pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima RM50,000 sebagai naib juara.
Di sebalik kegembiraan menerima hadiah tersebut, mereka juga berpeluang untuk ‘dinaikkan pangkat’ ke Liga Super musim depan, tetapi harus berdepan dengan dua pasukan tercorot Liga Perdana terlebih dahulu.
Bukan itu sahaja, kelayakan untuk ke Liga Super juga adalah tertakluk kepada syarat-syarat Peraturan Perlesenan Kelab dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) sekiranya mereka menang.
Namun sehingga sekarang, tiada langsung khabar mengenai perlawanan play-off tersebut daripada pihak berwajib.
Liga Perdana sudah menghampiri ke penghujungnya dengan berbaki satu perlawanan lagi, jadi segala perkara mengenai perlawanan play-off tersebut seharusnya sudah diumumkan.
PIB dan KL Rovers juga sudah tentu sedang menunggu pengumuman mengenai perlawanan tersebut.
Dengan pengumuman yang lebih awal, kedua-dua kelab itu termasuk kelab Liga Perdana yang bakal menjadi lawan mereka boleh membuat persediaan lebih awal lagi sama ada untuk menghadapi perlawanan dan juga proses mendapatkan lesen.
Sebagai kelab berstatus amatur, kedua-dua kelab itu sudah tentu memerlukan tempoh untuk mempersiapkan diri sekiranya mereka layak ke Liga Super.
Justeru diharapkan pihak MFL dapat menetapkan dengan segera tarikh perlawanan play-off supaya ia tidak memberi masalah buat kelab-kelab yang bakal beraksi.