Intan Serah pandang pembangunan lebih daripada wang ringgit, contoh terbaik untuk semua pemain wanita

1,079

Pemain futsal wanita negara, Intan Serah mengakui masih memasang hasrat untuk mewakili pasukan futsal negeri kelahirannya, Kuala Lumpur.

Namun, halangan terbesarnya adalah kerana pasukan futsal wanita Kuala Lumpur tidak lagi diuruskan dengan sistematik sepertimana yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu.


Lebih perit, pasukan ini telah berhadapan dengan masalah tunggakan gaji pada awal tahun lalu selepas beberapa pemain mereka mendakwa pihak pengurusan gagal melunaskan bayaran.

Tambahan lagi, ada isu-isu melibatkan kontrak yang telah mencemari aksi mereka di dalam saingan liga sehingga mereka tidak dapat hadir pada perlawanan menentang Melaka United.

Perkara-perkara seperti ini dilihat akan memberi kesan kepada perkembangan karier seorang pemain futsal wanita yang sukar mendapat peluang di Malaysia.

Menerusi posting di akaun Instagram peribadinya, Intan menyatakan bahawa beliau lebih melihat kepada persiapan yang dilakukan oleh sesebuah pasukan terlebih dahulu sebelum memilih untuk mewakili mereka.

Ini adalah contoh yang sangat baik kerana latihan dan persiapan pasukan daripada pelbagai aspek merupakan elemen terpenting dalam memastikan konsistensi sesebuah pasukan.

Kebanyakan pengurusan pasukan wanita di Malaysia baik futsal mahupun bola sepak dilihat ‘sekadar melepaskan batuk di tangga’ dan tidak mempunyai visi yang jauh dalam membantu pembangunan dan perkembangan para pemain.

Ada di antara mereka yang hanya membuat persiapan di minit akhir dan tidak bersedia sepenuhnya untuk menyertai kejohanan-kejohanan besar seperti Liga Wanita Nasional dan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

Perkara ini sedikit sebanyak mengganggu rentak kejohanan tatkala ada sebilangan pasukan yang terpaksa menarik diri ekoran daripada kekurangan pemain.

Aspek-aspek seperti ini yang perlu diberikan perhatian terlebih dahulu dalam usaha memperkasakan sukan futsal dan bola sepak wanita di Malaysia sebelum kita bermimpi untuk melangkah ke kejohanan yang lebih berprestij seperti Piala Dunia Wanita dan sebagainya.

Ambil contoh yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan juga Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dalam usaha mengangkat status sukan ini ke peringkat lebih tinggi.

Kedua-dua pasukan ini ternyata memiliki kejayaan yang cukup memberangsangkan di dalam sukan futsal serta bola sepak.

Baru-baru ini, pasukan bola sepak wanita Melaka United berjaya merangkul kejuaraan di dalam saingan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR).

Terdahulu, Intan juga telah menyumbang kepada kejayaan pasukan futsal wanita Melaka United untuk merangkul gelaran juara dalam saingan MPFL tahun ini.