Jelajah Trofi Piala AFF di Malaysia pada 22 Oktober, jadi azimat buat Harimau Malaya kembali merangkul kejuaraan
Bangkok telah menjadi destinasi pertama Jelajah Trofi Piala AFF 2022 selepas dilancarkan pada 24 September yang lalu.
Jelajah ini bertujuan untuk merancakkan sambutan menjelang kejohanan tersebut yang dijadual membuka tirai pada Disember ini.
Buat peminat di Malaysia, 22 Oktober akan menjadi tarikh untuk kita dapat melihat trofi itu dengan lebih dekat selepas ia tiba di Kuala Lumpur untuk tontonan ramai.
Situasi ini dijangka akan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat bola sepak negara yang mengharapkan agar pasukan Harimau Malaya dapat membawa pulang trofi ini kembali selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2010.
Tambahan pula, skuad negara telah berjaya memperagakan peningkatan luar biasa semenjak berada di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan pembantu, Pau Mari Vicente serta jurulatih yang lain.
Selepas empat perlawanan menentang pasukan di kedudukan yang lebih tinggi, pasukan kebangsaan telah berjaya memperoleh satu kemenangan serta dua keputusan seri.
Aksi cemerlang yang dipamerkan untuk mengikat dua pasukan yang lebih kuat seperti Thailand dan Taijikistan di dalam saingan King’s Cup baru-baru ini membuktikan kebangkitan yang sedang dipamerkan oleh para pemain.
Muncul naib juara di kejohanan tersebut hanya disebabkan penentuan sepakan penalti adalah suatu pencapaian yang cukup besar buat pasukan negara yang sekian lama bergelut di peringkat antarabangsa.
Bahrain di ranking ke-85 dunia jadi satu-satunya pasukan di kedudukan lebih tinggi yang berjaya mencalarkan rekod baik Pan-gon.
Kekalahan 2-1 yang dicatatkan pada pusingan kelayakan Piala Asia Jun lalu bagaimanapun tidak menjejaskan kecemerlangan dan kredibiliti pengendali berasal dari Korea Selatan ini yang telah berjaya melakukan pelbagai perubahan.
Kehadiran barisan kejurulatihan yang baru ini berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia dari tangga ke-154 dunia kepada 148 dan tidak mustahil akan berada di kedudukan ke-146 menjelang Oktober ini.
Perkara ini dilihat hasil daripada latihan intensif yang diterapkan oleh Pan-gon sejak beberapa bulan ini dan tindakan ini semakin menunjukkan hasil yang cukup positif.
Tidak mustahil untuk kita kembali menakluki saingan Piala AFF selepas 12 tahun gagal berbuat demikian.
Bekas ketua jurulatih, K. Rajagopal jadi pengendali terakhir yang berjaya membimbing skuad negara merangkul kejuaraan berprestij di Asia Tenggara tersebut.
Pada ketika itu, Malaysia dibarisi oleh pemain-pemain seperti Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat dan Safiq Rahim.
Dengan kemunculan pemain-pemain berkualiti yang baru, sasaran untuk membawa pulang trofi Piala AFF kembali ke Malaysia adalah realistik dan mampu dicapai.
Malaysia Boleh!