TMJ jadi orang terawal bermain FIFA23, beri bayangan akan ada kerjasama dengan EA Sports

1,964

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah menjadi antara orang terawal yang berkesempatan untuk mencuba permainan elektronik terbaharu FIFA23 yang bakal dilancarkan oleh EA Sports pada penghujung bulan ini.

Lebih menarik, edisi FIFA23 ini akan jadi keluaran terakhir selepas kerjasama antara Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersama pengeluar permainan dunia, EA Sports difahamkan bakal ditamatkan pada tahun ini.


Bermula 2023, EA Sports akan mula mengeluarkan permainan video mereka sendiri yang bakal diberi nama sebagai EA Sports FC.

TMJ memperoleh peluang ini hasil daripada kerjasama baik bersama dengan pengedar FIFA23 tempatan, GamesBond.

Hal ini menunjukkan TMJ sebenarnya berada di dalam kelas beliau tersendiri selepas berjaya membina empayar yang cukup gah bersama pasukan JDT.

FIFA23 cukup dikenali sebagai salah sebuah permainan video bola sepak yang cukup digemari oleh ramai peminat bola sepak bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia.

Penerimaan tersebut membolehkan permainan tersebut dijadikan sebagai salah satu cabang Esukan yang turut dipertandingkan secara rasmi di beberapa kejohanan utama dunia.

Pada masa yang sama, TMJ turut memberi gambaran bahawa berkemungkinan besar akan ada kerjasama di antara JDT dan pihak EA Sports di masa akan datang.

Tidak mustahil untuk kita melihat kewujudan pasukan JDT sebagai salah sebuab kelab yang turut dimasukkan di dalam permainan yang bakal dihasilkan oleh pihak EA Sports selepas ini.

Lebih-lebih lagi, sekiranya JDT dapat dimasukkan di dalam edisi pertama EA Sports FC yang bakal dikeluarkan bermula tahun hadapan.

Sekiranya perkara ini benar-benar berlaku, ia akan terus menjulang reputasi JDT sebagai salah sebuah pasukan yang dikenali di rantau Asia.

Kejayaan JDT semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang sanggup untuk bekerjasama dengan mereka termasuk syarikat-syarikat dari luar negara.

Terbaru, JDT telah menjadi kelab pertama dari Malaysia yang berjaya menjalinkan kerjasama dengan sebuah platform aplikasi, Socios.com.

Aplikasi ini bertujuan untuk menjadi penghubung antara sesebuah kelab bersama penyokong serta memberi beberapa peluang ganjaran.

Peminat JDT selepas ini berpeluang menebus ganjaran melalui $JDT Fan Tokens di Socios.com

Ia adalah sebuah aset berbentuk digital yang akan membenarkan para penyokong untuk memiliki ciri-ciri istimewa seperti membeli barangan cenderahati kelab, tiket-tiket VIP di samping mendapatkan informasi berkaitan pertandingan dan sebagainya.

JDT kini berada sebaris dengan kelab antarabangsa lain seperti Paris Saint-Germain, FC Barcelona dan Arsenal yang telah bekerjsama dengan Socios.com.