Jika ada rezeki dapatlah lihat Faisal Halim di Selangor FC, satu ‘national team’ teruslah! – Dr Johan Kamal

5,983

Ketua pegawai eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal tidak menolak bahawa kelab itu mempunyai minat untuk mendapatkan pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim bagi saingan musim depan.

Menurutnya, Faisal adalah seorang pemain yang berkualiti dan mampu mendatangkan impak yang besar sekiranya menyertai mereka.


“Mana-mana kelab pun akan berminat dengan Faisal, bukan sahaja Selangor dan kalau ada rezeki Insya Allah beliau ada di Selangor musim depan.

Tetapi ketika ini saingan masih berjalan dan saya pasti beliau juga harus buat keputusan yang besar untuk karier beliau, jadi kami hanya tunggu sehingga semuanya sudah pasti,” katanya.

Beliau juga berseloroh mahu membawa seluruh pemain kebangsaan menyertai Selangor apabila ditanya mengenai desas-desus kelab itu berminat dengan duo pemain Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee dan Shihan Hazmi.

Beliau berkata, Selangor adalah sebuah kelab yang sentiasa cuba untuk membawa pemain yang baik menyertai mereka dan perkara mengenai kemasukan pemain akan dibincangkan dengan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Dalam pada itu, Johan berkata pihaknya tidak mempunyai KPI buat Cheng Hoe untuk musim ini dan hanya akan menetapkan KPI musim depan selepas duduk berbindang dengan jurulatih itu selepas tamat musim ini.

“Kita akan duduk dengan beliau dahulu dan kenalpasti apa kekuatan dan kelemahan pasukan, dan apa yang perlu dibawa masuk.

Kemudian kita akan tetapkan satu KPI yang dipersutujui kedua-dua pihak mungkin pada Januari ini.”

Sementara itu, beliau tidak merasakan bahawa perjumpaan antara presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membawa kepada pelantikan Cheng Hoe.

Beliau berkata, Selangor sudah melakukan proses untuk mendapatkan jurulatih itu sebelum pertemuan itu berlaku lagi.

Mengenai isu pemain penyerang, Hyuri Henrique yang menerima kecaman di hantaran hari lahirnya di Instagram, beliau berkata pihak pengurusan sudah berbincang dengan pemain itu dan sering memberikan sokongan kepadanya dan respon pemain itu ketika ini tetap positif.

Katanya, kecaman itu telah berlaku sejak sekian lama dan beliau tidak merasakan perkara itu akan memberi kesan kepada prestasinya.