Mahu wakili Malaysia? Contohi Dion Cools, tak perlu ‘demand’ macam-macam
Baru-baru ini, kecoh mengenai pemain berdarah Malaysia, Nooa Laine serta bapanya yang dikatakan meminta wang sekiranya mahu bermain untuk Malaysia namun agensinya, X-One Agency menafikan perkara itu di media sosial.
Menurut agensi itu, wang tersebut adalah berdasarkan perjanjian dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu menanggung kos mereka untuk ke Malaysia bagi menyelesaikan urusan dokumentasi.
Namun, sama ada janji untuk menanggung kos itu benar-benar wujud atau tidak masih belum dapat dipastikan lagi kerana di dalam emel FAM disertakan sebagai bahan bukti pihak X-One Agency, tidak terdapat mana-mana ayat berkenaan kesudian untuk menanggung kos.
Mungkin terdapat salah faham antara kedua-dua pihak berkenaan isu tersebut tetapi FAM sehingga kini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.
Bukan mahu menyebelahi pihak FAM, tetapi mereka sepatutnya tidak perlu mengeluarkan sebarang kos sekiranya terdapat mana-mana pemain yang berhasrat mewakili Malaysia.
Ambil contoh sekiranya seorang pelajar menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti, dia sendiri yang harus mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan sebagai persediaan masuk ke universiti tersebut dan bukan universiti yang perlu menanggung kos.
Sama seperti kes pemain Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal yang tidak menyelesaikan proses pasportnya untuk mewakili Malaysia, FAM sendiri tidak boleh melakukan apa-apa kerana ia turut melibatkan pihak Kementerian Dalam Negeri.
Sekiranya mana-mana pemain enggan melakukan pengorbanan sama ada dari segi wang atau lain-lain untuk mewakili Malaysia, mereka seolah-olah ‘tiada hati’ sebenarnya untuk mewakili negara.
Dion Cools boleh dijadikan contoh terbaik buat pemain-pemain warisan lain yang berada di luar negara yang berhasrat mewakili negara.
Proses membawanya untuk mewakili negara juga berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekecohan.
Jika diikutkan status dirinya, beliau pernah bermain di tahap yang tinggi iaitu di UEFA Champions League tetapi tidak ‘demand’ untuk mewakili negara dan akur dengan proses yang ditetapkan.
Rasa sayangnya terhadap negara dapat dilihat apabila beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sanggup mati demi Malaysia.
Sikap seperti inilah yang harus ada dalam diri setiap pemain yang mahu mewakili negara termasuklah pemain di luar negara yang berhasrat mewakili Harimau Malaya.
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon sendiri tidak gemar akan pemain-pemain yang mempunyai lagak tersendiri seperti pemain bintang dan menganggap semua pemain sama.
Sekiranya wujud pemain yang mempunyai sikap ‘diva’ dalam pasukan, ia akan merosakkan keharmonian dalam pasukan.