AFL sudah sedia dengan keputusan MFL batal play-off slot ke Liga Super – COO AFL
Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri memberitahu bahawa pihaknya sememangnya sudah bersedia dengan apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) yang akan menentukan keputusan membabitkan play-off slot ke Liga Super.
“Nak kata terkejut atau sudah jangka itu saya tidak boleh cakap kerana ketika proses pelesenan berjalan memang kita tahu pasukan memberi kerjasama yang baik cuma keputusan akhir itu ditangan MFL.
Itu sebab bila keputusan itu keluar kita bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan oleh MFL kerana itu adalah bidang kuasa MFL,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Raimi, pihak AFL hanya membantu pasukan-pasukan yang berada di dalam Liga M3 memberi panduan dan bantuan menghubungkan mereka dengan pihak MFL.
Jelasnya lagi, pihaknya tidak akan terlibat langsung apabila dengan proses perlesenan.
“Bila proses perlesenan bermula, AFL is no longer in the picture. Apabila mereka terlibat dengan taklimat perlesenan pun setiap pasukan akan berurusan terus dengan pihak MFL.”
Semalam pihak MFL menerusi First Instance Body (FIB) telah memaklumkan bahawa tiada aksi play-off bagi merebut slot Liga Super 2023 membabitkan pasukan juara dan naib juara Liga M3 iaitu PIB FC dan KL Rovers FC.
Keputusan itu dibuat selepas badan bebas itu membuat semakan laporan berkenaan permohonan pelesenan yang telah berakhir pada 17 September yang mana hanya tujuh kelab iaitu PIB FC, Harini FT, BRM FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC.
Bagaimanapun hanya dua pasukan sahaja yang menunjukkan progress yang baik iaitu PIB dan Harini tetapi kedua-dua pasukan itu gagal melengkapkan kesemua kriteria kelab profesional bagi mendapatkan lesen pada tarikh akhir permohonan.
Dalam pada itu, Raimi juga berkata keputusan yang dibuat oleh FIB itu tidak perlu menjadi pertikaian kerana MFL dengan jelas sudah menetapkan kriteria yang perlu dipenuhi oleh setiap pasukan yang membuat permohonan.
“Setuju atau tidak, itulah kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak MFL. Mungkin pasukan PIB dan pasukan lain sudah mencuba sehabis baik untuk memenuhi kriteria itu, namun kriteria itu ada banyak jadi mungkin ada bahagian yang mereka tidak dapat penuhi.”
Biarpun mereka gagal untuk mendapat lesen, namun Raimi memberi pujian kepada kesemua kelab yang memberi kerjasama yang cukup baik untuk cuba memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa format saingan Liga M3 pada musim hadapan tidak akan menggunakan format seperti musim ini sebaliknya ia akan dijalankan seperti format liga biasa.
Untuk musim 2023, saingan Liga M3 akan mempunyai 14 pasukan, manakala saingan Liga M4 akan menggunakan format kumpulan dengan 20 pasukan.