Pratama Arhan dan Irfan Jaya dalam radar Selangor

318

Skuad The Red Giant’s sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat dua tonggak daripada negara seberang iaitu Pratama Arhan Alif Rifai dan Irfan Jaya Samaling Kumi.

Mereka berdua merupakan pemain utama Skuad Garuda yang beraksi cemerlang dalam saingan Piala AFF menentang skuad Harimau Malaya baru-baru ini. Hasil kelincahan pemain ini skuad negara berjaya ditumbangkan.


Pratama Arhan yang beraksi sebagai pertahanan kiri dilihat seringkali melakukan larian pantas untuk membuka ruang kepada bahagian serangan Sang Garuda dalam memburu gol. Malahan, Pratama sangat lincah di bahagian sayap sehingga berjaya menunjukkan kelemahan pertahanan skuad Harimau Malaya yang belum cukup pantas untuk mengawalnya.

Sumber Foto : PSSI

Pratama yang baru berusia 20 tahun telah menjadi pemain tetap untuk bek kiri semenjak penampilan pertamanya bersama skuad Indonesia bawah 19 tahun. Beliau telah mempunyai 12 kap bersama skuad Indonesia sejak disenaraikan dalam skuad utama Sang Garuda.

Irfan Jaya pula yang bermain di posisi sayap kanan sangat lincah dalam mengkucar-kacirkan pertahanan Harimau Malaya sehingga berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan tersebut. Irfan dan Pratama lebih berbahaya apabila di beri peluang berganding bahu.

Mereka mampu membuatkan pasukan lawan dalam keadaan tidak senang duduk sentiasa ada sahaja helah mereka untuk merencanakan serangan. Irfan Jaya telah menjaringkan 6 gol dalam 13 perlawanan yang beliau diturunkan dalam skuad utama Sang Garuda.

Sumber Foto : PSSI

Kelincahan kedua-dua pemain ini pasti ditagih oleh skuad The Red Giant untuk membantu Selangor FC dalam kancah Liga Super musim hadapan. Sentuhan pemain import Indonesia bukanlah asing lagi untuk Selangor FC kerana mereka pernah mendapatkan khidmat Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy pada tahun 2005.