Bojan Hodak anggap Kim Pan-gon tidak hormatinya kerana bawa Declan Lambert dan Zhafri Yahya ‘bercuti’

4,504

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak merasakan bahawa ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon tidak menghormati tugasnya sebagai jurulatih kerana memanggil dua pemainnya, Declan Lambert dan Zhafri Yahya ke Chiang Mai, Thailand bagi menghadapi kejohanan King’s Cup.

Beliau tidak menyalahkan Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menurutnya telah membantu mereka dengan menyusun semula jadual dan memastikan mereka menamatkan saingan liga pada tempoh yang sepatutnya.


“Ini adalah disebabkan seorang individu, ini adalah antara jurulatih, beliau tidak menghormati saya jadi sudah tentu saya kecewa.

Kami minta pelepasan untuk mereka kerana kami sedang buat persediaan untuk perlawanan paling penting kelab ini, tetapi beliau bawa dua pemain kami untuk bercuti.

katanya.

Menurutnya, beliau akan memastikan perkara ini tidak berlaku lagi pada masa depan kerana ia menjejaskan persiapan pasukannya untuk perlawanan akhir Piala AFC interzone menentang kelab Uzbekistan, Sogdiana.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi kedua-dua pemain itu ketika menewaskan Sarawak United FC sebentar tadi, ia jelas mengganggu persembahan Declan manakala Zhafri pula bermain dengan baik.

“Bagi saya pemergian mereka ke sana adalah satu pembaziran masa. Seorang hanya main 10 minit dan seorang lagi tidak bermain langsung.

Zhafri bermain dengan baik tetapi saya tidak gembira dengan persembahan Declan, beliau patut buat dengan lebih baik.”

Tambahnya, masih ada lagi ruang yang perlu diperbaiki oleh mereka sebelum berangkat ke Uzbekistan walaupun berjaya membelasah Sarawak United 5-0.

Beliau berkata, perlawanan menentang Sogdiana pastinya akan lebih mencabar kerana pasukan itu lebih kuat dan cuaca di sana yang lebih kering.