S Balachandran rasa pemain Sarawak United bermain lebih baik sewaktu dilanda isu gaji
Ketua jurulatih Sarawak United, S Balachandran berpendapat bahawa anak buahnya beraksi jauh lebih baik meskipun menghadapi pelbagai isu sebelum ini.
Terdahulu, Sarawak United berhadapan dengan masalah gaji yang kritikal sehingga ada beberapa pemain yang turut meluahkan perasaan kekecewaan mereka di media sosial.
“Saya rasa semasa isu kita bermain dengan bagus, sekarang pun permainan semakin bagus dan saya rasa ia bukanlah masalah untuk pemain.
Mereka tidak terkesan dengan masalah tersebut, mereka bermain dengan baik permainan demi permainan.”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pasukan Sarawak United tewas 5-0 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Aksi ini melihatkan kemunculan semula pemain import, Boris Kok yang sebelum ini difahamkan telah kembali bersama keluarganya di Perancis.
“Boris Kok baru bermain sahaja kembali selepas kelahiran anak pertamanya dari Perancis, beliau masih belum cukup berlatih tetapi dia berjaya tunjuk aksi yang bagus.”
Pada masa yang sama, Balachandran enggan mengulas lanjut tentang persoalan yang dilontarkan berkaitan ketiadaan seorang lagi pemain import mereka, Francis Kone yang tidak dapat dikesan sehingga kini.
Kone merupakan antara pemain utama buat skuad Kenyalang Emas selepas beliau berjaya menjaringkan tiga gol sepanjang diturunkan.
Pemain berasal dari Togo tersebut beraksi buat kali terakhir untuk pasukan ini pada perlawanan menentang Penang FC yang berkesudahan dengan kemenangan.
“Saya tidak tahu tentang Kone, awak perlu tanya perkara itu kepada pengurusan.
Saya hanya menguruskan latihan pemain sahaja.”
Balachandran juga enggan menyerah kalah terlalu awal meskipun berada di kedudukan bawahan Liga Super ketika ini.
Beliau percaya semua pasukan yang bersaing memiliki peluang untuk menyinar dan melakukan kejutan.
“Dalam Liga Malaysia, setiap pasukan miliki peluang sama rata, setiap perlawanan adalah sukar.”
Sarawak United dijadual bertemu pasukan Sri Pahang pada 1 Oktober ini di Stadium Negeri Sarawak.