Ammar Shauqi pegang kata-kata semangat TMJ bantu skuad B-17 layak ke Piala Asia 2023

883

Pemain pasukan kebangsaan B-17 Malaysia yang juga merupakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) B-16 Muhammad Ammar Shauqi Azri pula berkata beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk memberikan 100 peratus aksi terbaik di Jakarta, Indonesia nanti.

Pemain kelahiran Pulau Pinang ini juga berkata beliau akan memegang kata-kata semangat daripada pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris yang mahu beliau bantu skuad Harimau Muda cipta kejayaan.


“Sebelum saya menyertai skuad kebangsaan, TMJ ada bertemu dan memberi kata-kata semangat dan meminta saya main betul-betul di Jakarta nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, penyerang Muhamad Dainei Mat Isa meletakkan sasaran peribadi untuk cuba menjaringkan gol dalam setiap perlawanan yang bakal dihadapi dalam kelayakan Piala Asia B-17 2023.

Menurut Dainei, selain sasaran peribadi beliau juga mahu mencapai sasaran pasukannya untuk cuba mengutip sekurang-kurangnya sembilan mata pusingan kelayakan.

“Saya sendiri meletakkan sasaran peribadi memang akan cuba menjaringkan gol dalam setiap kejohanan yang saya sertai.

Sasaran coach kami akan cuba usahakan untuk menang semua perlawanan tetapi fokus kami adalah untuk menang tiga perlawanan untuk kutip 9 mata sekaligus dapat mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023.”

Sementara itu, bagi kapten pasukan Muhammad Danish Darus pula berkata beliau dan rakan sepasukan perlu lebih fokus lagi untuk memperbaiki kelemahan terutamanya di bahagian serangan.

“Kami perlu lebih berkomunikasi atas padang supaya dapat memastikan pasukan beraksi dengan baik, selain mahu memperbaiki kelemahan di bahagian serangan berikutan kita gagal menjaringkan gol walaupun mencipta banyak peluang.”

Skuad kendalian Osmera Omaro telah diundi dalam Kumpulan B yang mana ia turut dihuni pasukan tuan rumah Indonesia, UAE, Palestin dan Guam.

Kelayakan Piala Asia B-17 2023 akan berlangsung dari 1 hingga 9 Oktober ini.