Kekal latih Kuching City FC musim depan, ‘ketahanan’ Irfan Bakti contoh jurulatih yang sering tingkatkan diri

1,024

Jurulatih tertua di Liga Malaysia, Irfan Bakti Abdul Salim bakal meneruskan kariernya pada musim depan selepas membuat keputusan untuk tidak bersara pada penghujung musim ini.

Menurut laporan portal Majoriti, beliau yang berusia 71 tahun itu diminta oleh pihak Kuching City FC untuk terus membawa pasukan itu dalam saingan Liga Super musim depan.


Irfan pernah menyuarakan hasratnya untuk bersara sebelum ini tetapi merasakan bahawa peluang buatnya masih terbuka.

Beliau yang memulakan karier kejurulatihannya sejak 1996 dianggap sebagai salah seorang jurulatih legenda di negara ini dan pernah mendakap semua piala domestik kecuali Piala Malaysia.

Beliau juga pernah dianugerahkan anugerah jurulatih terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011.

Berdasarkan prestasi Kuching City pada musim ini, dapat dilihat sentuhan jurulatih kelahiran Pulau Pinang itu masih lagi berbisa apabila berjaya membawa kelab itu menduduki tangga ketiga.

Tidak mustahil beliau mampu terus menabur bakti dalam bola sepak tempatan sehinggalah menjengah usia 80 tahun.

Walaupun umurnya jauh lebih tua berbanding jurulatih-jurulatih lain di Malaysia, beliau tidak sombong untuk terus meningkatkan tahapnya untuk terus bersaing.

Buktinya, beliau sahaja menamatkan kursus pengambilan lesen Pro A baru-baru ini.

Biarpun di Eropah ramai jurulatih yang masih berkhidmat sehingga umur 70-an, untuk bola sepak Asia, terutama Asia Tenggara, agak jarang jurulatih mampu berkhidmat sehingga ke usia tersebut.

Yang ada pun mungkin sudah ‘turun pangkat’ melatih kelab-kelab amatur atau lebih selesa berada di belakang tabir sahaja.

Kemampuan Irfan untuk terus melatih di tahap yang tinggi sehingga sekarang sememangnya satu pencapaian yang hebat dan boleh menjadi contoh buat jurulatih-jurulatih muda lain.