Selepas Selangor FC, JDT pula bakal rekrut orang kuat NFDP, sudah tiba masanya NFDP diletakkan di bawah FAM?

3,298

Selepas Selangor FC mengumumkan pelantikan pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Dennis Bekking sebagai pengarah teknikal terbaru kelab itu, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dikhabarkan bakal kehilangan seorang lagi individu kuat iaitu pengarah teknikalnya, Saad Ichalalene.

Ketika ini hangat diperkatakan bahawa bekas ketua jurulatih akademi kelab gergasi Perancis, PSG itu akan menyertai pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).


Ini pastinya satu penambahan yang amat baik dalam barisan pengurusan JDT lebih-lebih dari segi pembangunan akar umbi kerana Ichalalene mempunyai reputasi yang baik dalam membangunkan pemain muda.

Pengalamannya bekerja di kelab besar seperti PSG dan kemahirannya dalam bidang teknikal akan membawa satu anjakan paradigma buat JDT untuk terus meluaskan kuasa mereka.

Sudah tentu penyokong Selangor dan JDT teruja dengan pelantikan dua individu penting dalam pembangunan bakat-bakat muda tempatan itu, namun persoalan timbul mengenai hala tuju NFDP serta AMD selepas semakin ramai orang penting keluar.

Tidak mustahil lebih ramai lagi individu penting daripada AMD serta NFDP akan terus ‘dipancing’ oleh kelab besar lain.

Ketika ini, NFDP diletakkan di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) yang berhubung secara langsung dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk KBS menyerahkan tanggungjawab membangunkan bakat-bakat muda dalam sukan bola sepak kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)?

Bukan mahu menidakkan kewibawaan MSN, tetapi FAM sebagai sebuah badan induk bola sepak negara pastinya mempunyai kepakaran yang tinggi dalam hal yang melibatkan sukan tersebut.

Lagipun agak janggal apabila MSN mempunyai program yang dikhususkan untuk bola sepak sahaja sedangkan badan itu bertanggungjawab kepada semua sukan di negara ini.

Mungkin dari segi bajet kelebihan berada di pihak MSN kerana mereka berurusan secara terus dengan KBS, tetapi sekiranya NFDP diletakkan di bawah FAM, mungkin KBS boleh memperuntukkan bajet khusus bagi program NFDP.

Sekiranya makin ramai lagi individu penting dalam AMD dan NFDP yang mengikut jejak Bekking dan Ichalalene, tidak mustahil satu hari nanti program tersebut akan terkubur begitu sahaja.