Penyokong PSPS Riau ‘muak’ dengan Zamsaham, adakah masanya untuk fokus sepenuhnya kepada Kelantan FC?

4,584

Selepas mengambil alih kelab Indonesia, PSPS Riau pada Mei tahun lalu, perjalanan usahawan tempatan, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengendalikan kelab itu bukanlah mudah.

Pelbagai isu yang terpaksa ditanganinya termasuklah melibatkan pihak luar dan juga masalah dalaman pasukan.


Antara yang paling diingati adalah pembatalan perlawanan persahabatan antara kelab itu dan juga satu lagi kelab miliknya, Kelantan FC akibat Polis Indonesia meminta ‘wang keamanan’ 40 Juta Rupiah (RM 11,821) pada saat-saat akhir.

Selain itu, staf pasukan PSPS Riau juga dilaporkan telah ‘mencuri’ wang tiket bagi aksi perlawanan persahabatan tersebut menyebabkan beliau tidak dapat memulangkan wang kepada penyokong dengan segera.

Beliau juga terpaksa berdepan dengan ketidakpuasan hati penyokong terhadap persembahan tidak menentu pasukan itu dalam aksi liga sehingga membakar kerusi stadium, menyebabkan beliau terpaksa bertanggungjawab kepada pihak berkuasa tempatan.

Baru-baru ini, poster yang tertulis “Zamsaham out” dengan wajah beliau ditemui dipercayai di sekitar kawasan Indonesia.

Berbeza dengan penyokong Kelantan yang gembira dengan pemilikan Zamsahan, penyokong PSPS Riau nampaknya tidak menggemari usahawan berusia 41 tahun itu.

Walaupun beliau telah melakukan banyak perkara untuk mengubah tahap kelab itu, segala usaha beliau nampaknya tidak dihargai oleh para penyokong.

Beliau juga boleh sahaja berundur dari awal lagi ketika isu ‘wang keamanan’ itu berlaku kerana ultras PSPS Riau ketika itu memberi ‘amaran’ kepada Zamsaham berhubung kejadian itu.

Namun beliau masih cekal untuk meneruskan cabarannya di Indonesia ketika itu.

Dengan hubungannya dengan para penyokong kini semakin retak, adakah Zamsaham patut berundur daripada PSPS Riau selepas hanya setahun lebih membeli kelab itu?

Lagipun Kelantan akhirnya akan beraksi di Liga Super musim depan, jadi mungkin ini masa sesuai buat Zamsaham menumpukan sepenuhnya perhatian kepada Kelantan.

Sekiranya Zamsaham mahu mengembangkan empayar bola sepaknya di luar negara, mungkin beliau boleh cuba merisik kelab di Thailand.

Atmosfera bola sepak di Thailand juga boleh dikatakan setaraf dengan yang ada di Indonesia.

Dari segi ranking juga, liga Thailand berada di kedudukan yang lebih baik daripada liga Indonesia.