Brendan Gan ‘korbankan’ hatrik untuk beri keyakinan kepada Caion, masih belum puas hati dengan prestasi semasa

1,536

Kapten Selangor FC, Brendan Gan mengakui beliau membiarkan Herlison Caion untuk mengambil sepakan penalti bagi meningkatkan keyakinan pemain itu.

Menurutnya, sebagai satu pasukan, apa yang penting adalah pasukan mencatat kemenangan tidak kisah siapa yang menjaringkan gol.


“Sudah tentu saya mahu mencatat hatrik tetapi saya berikan kepada Caion untuk meningkatkan keyakinan dirinya kerana tidak mudah untuk menjadi seorang penyerang.

Ramai juga yang mahu saya ambil penalti tersebut tetapi saya gembira Caion mengambil tanggungjawab itu dnegan baik, dan saya pasti ini akan meningkatkan keyakinannya untuk menjaringkan lebih banyak gol lagi selepas ini,”

katanya.

Menurutnya, setiap pemain kini berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan sesuatu kepada ketua jurulatih baru, Tan Cheng Hoe.

Katanya, apa yang penting ketika ini adalah pemain memahami apa yang Cheng Hoe mahukan dan sentiasa meningkatkan prestasi.

Walaupun berjaya mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Melaka United FC sebentar tadi, beliau berkata masih banyak yang boleh diperbaiki oleh pasukan.

Secara peribadi, beliau juga merasakan harus belajar dengan lebih banyak lagi daripada Cheng Hoe untuk meningkatkan tahap permainan.

“Beliau ada memainkan saya di beberapa posisi berbeza jadi saya tidak akan pernah berhenti belajar.

Saya gembira dapat belajar daripada seorang jurulatih yang bagus dan saya berharap beliau mampu bawa kami lebih jauh.”

Dalam pada itu, pemain tengah, Mukhairi Ajmal merasakan bahawa para pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan taktikal baru yang diterapkan oleh Cheng Hoe.

Beliau juga merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki memandangkan baru beberapa hari mereka bersama Cheng Hoe.

“Dengan taktikal baru ini semua pemain nampak boleh main sebab mungkin sudah biasa tetapi banyak lagi yang perlu ditingkatkan.

Saya rasa sangat gembira dengan taktikal beliau kerana kita banyak pegang bola dan menunjukkan semangat yang tinggi.”

Beliau bertekad mahu terus belajar dan meningkatkan tahap permainannya di bawah Cheng Hoe.