Osmera Omaro tak puas hati para pemain masih ulang kesilapan sama, letakkan Malaysia sebagai ‘underdog’ dalam kumpulan

1,131

Ketua jurulatih skuad B-17 negara, Osmera Omaro masih tidak berpuas hati dengan kesilapan sama yang sering dilakukan anak-anak buahnya walaupun berjaya membelasah Palestin 4-0 pada perlawanan pertama kelayakan Piala Asia B-17 semalam.

Menurutnya, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki lebih-lebih lagi Malaysia bakal berdepan pasukan-pasukan yang lebih kuat selepas ini.


“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini tetapi banyak lagi perkara yang kita perlu baiki terutamanya kesilapan yang berulang-ulang.

Kita akan buat analisis video untuk perbaiki segala kelemahan dan juga beberapa perubahan supaya tampil lebih baik selepas ini,” katanya.

Beliau menganggap Malaysia merupakan ‘underdog‘ dalam kumpulan tersebut yang turut mempunyai UAE, Palestin, Indonesia dan Guam.

Katanya, pada perlawanan menentang Palestin itu, Malaysia menguasai permainan di kedua-dua separuh masa, cuma hanya mampu menjaringkan gol pada separuh masa kedua.

Kalau anda tolak kesemua gol itu kami memang menguasai perlawanan di kedua-dua separuh masa cuma kami tidak dapat menterjemahkan peluang kepada jaringan gol pada separuh masa pertama.

Apabila para pemain mendapat gol pertama di separuh masa kedua, mereka dapat keyakinan dan terus menjaringkan gol lagi.”

Dalam pada itu, pemain B-17 negara, Faris Danish mengakui bahawa mereka masih perlu memperbaiki banyak perkara walaupun mencatat kemenangan yang besar.

Beliau mengakui Palestin memberi tekanan yang baik kepada mereka namun berjaya menyerap segala tekanan untuk bermain dengan gaya permainan yang diterapkan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia itu, Malaysia mudah menjinakkan Palestin 4-0 hasil jaringan Anjasmirza, Faris Danish, Arami Wafiy dan Zainurhakimi Zain.