Ronald Ngah belum berfikir untuk musim depan, ingin fokus ke Piala Malaysia terlebih dahulu

323

Penyerang utama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ronald Ngah Wanja tidak ingin berfikir terlalu jauh ke hadapan dan hanya akan memberi fokus sepenuhnya dalam mengharungi baki musim ini terlebih dahulu.

Meskipun gagal membantu pasukan Kedah mara lebih jauh di beberapa kejohanan sebelum ini, Ronald percaya kemampuan beliau dan rakan sepasukan untuk kembali bangkit menjelang saingan Piala Malaysia.


“Buat masa ini, fokus saya hanyalah untuk menghadapi perlawanan dan kita masih mempunyai Piala Malaysia, sebagai pemain kita ingin memberikan sesuatu.

Jadi Piala Malaysia adalah matlamat buat masa ini dan kami perlu melangkah ke Piala Malaysia dengan mentaliti kemenangan dan kami perlu mendapatkannya pada baki empat perlawanan liga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Buat masa ini, ketajaman Ronald di bahagian hadapan akan terus ditagih oleh ketua jurulatih pasukan, Aidil Sharin bagi mengharungi baki saingan liga musim ini.

Cabaran getir menanti pasukan Kedah apabila mereka bakal melayani kunjungan gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang baru sahaja mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan baru-baru ini.

Skuad Sang Kenari perlu menggunakan peluang ini untuk terus mengumpul mata dalam usaha memperbaiki kedudukan semasa mereka di tangga keenam liga.

“Kekalahan menentang PJ City nyata memberi kekecewaan kepada kami, kekalahan tersebut masih segar untuk kami.

Tetapi, esok adalah cabaran buat kami untuk kembali bangkit pada perlawanan yang besar menentang JDT, kami berharap dapat memberikan yang terbaik kepada pasukan.”

Sepanjang diturunkan sebanyak 18 kali di dalam saingan liga musim ini, pemain kelahiran Cameroon tersebut telah berjaya menjaringkan 11 gol dan mengumpul dua bantuan jaringan.

Beliau hadir ke saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan rekod yang cukup memberansangkan selepas memiliki beberapa rekod cemerlang bersama beberapa pasukan Asia Barat seperti Al Salt FC dari Jordan.

Namun, beliau masih belum berjaya mempamerkan aksi yang diinginkan selepas bergelut mencari rentak penyudah seperti sebelum ini.

Daripada semua perlawanan, Ronald hanya berjaya menjaringkan gol pada lapan perlawanan sahaja dan kecundang di depan gawang pada baki perlawanan yang lain.

“Saya belum mencapai sasaran saya dan ia bukanlah perkara yang mudah, kadang-kadang kita perlu berundur sedikit untuk maju ke hadapan.

Liga ini sangat-sangat berbeza dengan pengalaman saya sebelum ini, saya meletakkan sasaran untuk melebihi jumlah jaringan saya musim lepas dan untuk mencapai kemenangan.”

Ronald akan terus menjadi antara senjata utama yang bakal digunakan oleh Aidil selain daripada kehadiran pemain import seperti Mahmoud Al Mardi dan Sanrawat Dechmitr.