Pemain KL City tidak boleh tewas dengan cabaran, sedar peluang untuk melakar sejarah lebih besar – Bojan Hodak
Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak berharap agar para pemainnya tidak akan terkesan dengan cabaran dan masalah yang terpaksa dilalui oleh mereka menjelang aksi bertemu pasukan Sogdiana Jizzakh FC di Uzbekistan.
Ini bukan kali pertama pasukan ini berhadapan dengan perkara sebegini, mereka juga terpaksa berhadapan dengan situasi yang sama sewaku bertandang ke India bagi bertemu ATK Mohun Bagan sebelum ini.
“Keadaan padang juga sedikit berbonggol dan kering, pasukan lawan memiliki kelebihan.
Tapi semua pemain perlu berhadapan dengan kesemua cabaran ini untuk bergelar sebagai juara, mereka perlu keluar dari zon selesa,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Antara masalah besar yang dihadapi oleh anak buah Bojan adalah dari segi cuaca yang sejuk dan mampu menjejaskan permainan mereka.
Tambahan pula, para pemain tidak berhasil mendapatkan rehat yang mencukupi selepas mereka terpaksa berkelana selama 28 jam sebelum tiba di destinasi.
Hal ini kerana para pemain dan pengurusan pasukan terpaksa menaiki beberapa jenis kenderaan bagi membolehkan mereka menjejakkan kaki ke Uzbekistan.
“Kami mungkin berhadapan dengan masalah dari segi perbezaan masa.
Kerana ketiadaan penerbangan secara terus, kami terpaksa berhadapan dengan perjalanan yang agak panjang.”
Tetapi, Bojan percaya bahawa kesemua masalah ini bakal diatasi dengan mudah oleh para pemain dan akan ditunjukkan menerusi aksi cemerlang di atas padang.
Kesemua peminat The City Boys berharap agar para pemain dapat mengekalkan momentum yang dipamerkan sebelum ini untuk terus melangkah lebih jauh ke pusingan akhir bagi membolehkan mereka mengulang kejayaan yang pernah dicapai oleh pasukan Johor Darul Ta’zim FC.
2022 muncul antara tahun gemilang buat KL City selepas juara Piala Malaysia 2021 tersebut berjaya melakukan kejutan untuk melangkah sehingga ke tahap ini meskipun bergelut di dalam saingan Liga Super.
“Saya rasa kesemua pemain memahami perkara ini, saya rasa mereka semua memahami ini adalah sebuah kejohanan yang besar di Asia.
Kami berada di dalam kelompok empat pasukan terbaik di dalam kejohanan ini jadi jika mereka layak ke peringkat seterusnya, ia akan menjadi kejayaan yang luar biasa.”
Sokongan padu dari barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan dilihat sebagai salah satu elemen utama yang menyokong para pemain untuk terus memberikan yang terbaik.
“Kita tidak memberikan tekanan dan hanya meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan.
Saya rasa perlawanan di Vietnam sebenarnya yang telah mengubah segalanya kerana kami melakukan kejutan di sana meskipun melangkah sebagai underdog.”
Perlawanan di antara KL City menentang Sogdiana Jizzakh dijadual berlangsung pada 5 Oktober ini pada jam 9 malam waktu Malaysia.