Tiga import bakal jadi ‘pisang goreng panas’, dikhabarkan sedang giat selesaikan proses naturalisasi
Menuju ke penghujung saingan Liga Super, terdapat beberapa khabar angin yang kini bertiup kencang berkenaan saingan musim hadapan.
Antara yang menarik perhatian adalah kemungkinan besar kita dapat melihat beberapa orang pemain import yang telah sekian lama beraksi di Liga Malaysia (Liga M) bakal dijadikan sebagai pemain naturalisasi terbaru.
Pemain tersebut adalah penyerang Melaka United, Ifedayo Olesegun serta dua bintang Kuala Lumpur City FC, Romel Morales dan Paulo Josue.
Ketiga-tiga pemain ini merupakan antara import yang cukup menyinar pada musim ini dengan beberapa kejayaan mereka di dalam saingan liga.
Perkara ini akan menjadikan ketiga-tiga individu ini sebagai antara pemain yang akan menjadi tumpuan utama pada jendela perpindahan kelak.
Sekiranya pemain-pemain ini dinaturalisasikan, pasukan yang memiliki mereka boleh memanfaatkan kuota pemain import dengan lebih besar tatkala mereka bakal dikira sebagai pemain tempatan.
Ifedayo mula beraksi di dalam saingan Liga M pada tahun 2017 sewaktu dipancing oleh Felda United FC dari kelab Bahrain, Hidd SCC.
Meskipun pernah kembali beraksi di Bahrain buat seketika, pemain berusia 31 tahun ini juga telah beraksi bersama beberapa kelab di Malaysia seperti Melaka United.
Kemuncaknya adalah ketika mewakili pasukan Selangor bermula pada tahun 2019, di mana beliau berjaya dinobatkan selaku penjaring terbanyak pada musim 2021.
Walau bagaimanapun, Ifedayo yang telah beraksi agak lima di Bahrain bersama kelab seperti Al Riffa dan Malkiya difahamkan telah memiliki pasport Bahrain sebelum ini.
Berdasarkan peraturan, beliau perlu melepaskan pasport Bahrain terlebih dahulu sekiranya benar-benar mempunyai keinginan untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.
Selepas isu yang dihadapi oleh Melaka United musim ini, Ifedayo muncul satu-satunya pemain import yang masih bertahan bersama pasukan tersebut.
Ifedayo dilihat perlu mencari pasukan yang baru pada musim hadapan melihatkan masalah kewangan pasukan yang kini sedang meruncing.
Selain Ifedayo, duo KL City, Morales dan Josue dilihat turut mempunyai potensi yang besar seandainya proses naturalisasi mereka berjaya diselesaikan menuju ke tahun hadapan.
Morales memulakan kariernya di Malaysia bersama pasukan Selangor PKNS FC pada tahun 2018 sebelum berpindah ke pasukan Melaka United dan akhirnya berhijrah ke KL City pada Februari 2021.
Kelincahan Morales sedikit sebanyak telah berjaya membantu skuad ibu kota untuk mencapai kegemilangan demi kegemilangan.
Pada tahun 2021, Morales berjaya membantu pasukan KL City merangkul gelaran juara Piala Malaysia dan kini sedang menggalas cabaran di peringkat Final Antara Zon Piala AFC tahun ini bertemu wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh.
Tidak kurang hebatnya buat seorang lagi pemain, Josue yang mula bersama dengan pasukan KL City pada tahun 2017 selepas berpindah dari kelab Brazil, Votuporanguense.
Kemasukan beliau pada tahun tersebut berjaya membantu pasukan KL City untuk menjuarai Liga Perdana dan layak ke Liga Super pada musim berikutnya.
Pemain berusia 33 tahun tersebut kini terus menjadi salah seorang pemain kesayangan di kalangan peminat setia The City Boys dan diberi gelaran Mr. Kuala Lumpur.
Josue terus cemerlang menempa nama, beliau kini merupakan pendahulu senarai penjaring terbanyak di dalam kejohanan Piala AFC 2022 dengan lima jaringan sepanjang lima perlawanan.
Dalam saingan Liga Super, pemain ini telah mengumpul sebanyak enam jaringan serta tujuh bantuan gol sepanjang 18 kali diturunkan oleh pengendali, Bojan Hodak.
Pengambilan ketiga-tiga pemain ini sebagai naturalisasi terbaru negara akan mampu memberi kelebihan yang besar kepada skuad kebangsaan.
Namun berdasarkan umur, Morales dilihat sebagai antara prospek utama yang boleh digunakan oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon memandangkan usianya yang baru mencecah 25 tahun.
Ifedayo dan Josue sudah menjangkau usia melebihi 30 tahun dan mungkin kurang sesuai untuk digunakan di dalam skuad kebangsaan.
Tetapi, terdapat risiko yang perlu dihadapi dan ditelan oleh para peminat bola sepak Malaysia sekiranya proses ini benar-benar terjadi.
Berkemungkinan besar untuk kita melihat dominasi daripada pemain kacukan dan pemain naturalisasi untuk memenuhi barisan kesebelasan utama mengatasi kehadiran pemain tempatan ‘tulen’ seperti Syafiq Ahmad.
Sekiranya, tindakan ini adalah yang terbaik dalam usaha meningkatkan pencapaian bola sepak negara, tidak salah untuk kita terus mencuba dan berharap akan ada impak positif yang terhasil daripada tindakan ini.
Terdahulu, duo Sri Pahang FC, Lee Tuck dan Sergio Aguero juga telah berjaya menyelesaikan proses naturalisasi mereka dan dijangka bakal memperkuat pasukan Tok Gajah pada saingan Piala Malaysia kelak.