Pemain tempatan perlu ‘push’ diri supaya tidak kehilangan tempat mereka dalam skuad – Paulo Josue

717

Pemain KL City FC, Paulo Josue tidak menafikan bahawa kehadiran pemain naturalisasi dan pemain import akan menyebabkan peluang untuk pemain tempatan mendapat tempat dalam skuad semakin berkurang.

Josue bagaimanapun berkata perkara itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan sebaliknya pemain tempatan perlu bekerja dengan lebih keras untuk memastikan mereka tidak kehilangan tempat mereka.


“Saya rasa dengan adanya pemain naturalisasi dan import ini pemain tempatan perlu push diri mereka dengan lebih lagi bagi memastikan mereka tidak kehilangan tempat mereka dalam skuad,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, jika pemain tempatan memberikan saingan sengit untuk merebut dalam skuad utama ia akan memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih.

Dalam pada itu, pemain berusia 33 tahun itu menyedari dengan kenyataan pengurusan KL City baru-baru ini yang dikatakan mahu menjadikannya sebagai pemain naturalisasi, namun enggan terlalu fikir mengenai perkara itu kerana fokusnya pada skuad The City Boys.

“Itu bukanlah sasaran saya. Saya sedar perkara ini sedang diperkatakan tetapi sasaran saya adalah untuk bantu KL City dalam perlawanan akhir Antara Zon Piala AFC dan tidak mahu hilang fokus dengan perkara ini kerana ia membabitkan pihak pengurusan.

Bagaimanapun jika ia berlaku (dinaturalisasi) saya akan berasa gembira dapat membantu pasukan sebagai pemain tempatan dan akan cuba banggakan KL City.”

Sementara itu, Josue memberitahu beliau masih lagi mahu bermain bola sepak walaupun usianya sudah mencecah 33 tahun.

Baginya usia hanyalah angka dan masih lagi belum memikirkan lagi bilakah beliau akan bersara dari dunia bola sepak.

“Saya rasa dapat meneruskan karier bola sepak saya lagi beberapa tahun, tambahan pula saya tidak berdepan sebarang kecederaan.”

Josue kini berada di Uzbekistan bagi menghadapi perlawanan akhir Antara Zon Piala AFC menentang FC Sogdiana Jizzakh yang akan berlangsung esok (5 Oktober).