AFF Club Championship medan terbaik buat pasukan tak layak ke saingan AFC tebus maruah
Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dilaporkan akan menganjurkan pertandingan antara kelab-kelab yang dipanggil AFF Club Championship bermula musim 2023/2024 dengan 12 pasukan daripada 10 negara akan terlibat.
Menurut laporan, 12 pasukan tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang akan bermain dalam format round robin secara timbal balik, di mana pasukan tempat pertama dan kedua akan mara ke peringkat separuh akhir.
Empat pasukan akan melalui peringkat play-off dahulu iaitu pasukan dari Kemboja, Myanmar, Laos dan Brunei.
Singapura dan Filipina pula diberikan satu slot automatik ke peringkat kumpulan manakala Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam pula masing-masing diberikan dua slot automatik.
Jika dilihat dari segi hierarki pertandingan, kejohanan AFF ini boleh diibaratkan seperti seperti UEFA Conference League, manakala Piala AFC dan AFC Champions League (ACL) pula masing-masing umpama Europa League dan UEFA Champions League
Dengan penganjuran kejohanan ini, ia akan memberi peluang buat lebih banyak pasukan tempatan beraksi di kejohanan serantau.
Ketika ini juara Liga Super akan layak secara automatik ke saingan ACL manakala naib juara liga dan juara Piala FA akan menempah tempat di saingan Piala AFC.
Mungkin dua slot ke kejohanan kelab AFF ini boleh diberikan kepada pasukan yang berada di tangga ketiga dan keempat liga.
Walaupun hanya peringkat Asia Tenggara, ia dilihat mampu meningkatkan persaingan dalam Liga Super kerana kelab bukan sahaja akan bersaing untuk ke kejohanan AFC tetapi juga AFF.
Musim ini, beberapa kelab besar Liga Super dilihat berada dalam prestasi terumbang-ambing seperti Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan juga Sri Pahang FC.
Jika dilihat kedudukan mereka dalam liga ketika ini, slot untuk ke Piala AFC nampaknya sudah jauh dari jangkauan.
Selangor dan Sri Pahang sudah beberapa musim tidak menunjukkan prestasi yang baik manakala prestasi Kedah merudum dengan amat drastik musim ini.
Sekiranya prestasi mereka kekal sama musim depan, mungkin sudah tiba masanya mereka meletakkan sasaran untuk ke kejohanan AFF sebelum pergi jauh ke peringkat AFC.
Sekurang-kurangya mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mara lebih jauh di saingan AFF berbanding saingan AFC.
Bukan saja untuk ketiga-tiga pasukan itu, pasukan-pasukan lain juga pastinya semakin bersemangat untuk merebut tempat ke kejohanan serantau itu, dan secara tidak langsung meningkatkan lagi tahap kompetitif liga.