Paulo Josue bangga dengan prestasi KL City, taktikal bertahan jadi kunci kemenangan
Ketua pasukan Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue nyata teruja dengan pencapaian kelab tersebut melangkah ke perlawanan akhir Piala AFC 2022.
Kejayaan tersebut berjaya diraih selepas pasukan KL City berjaya menewaskan Sogdiana Jizzakh dari Uzbekistan menerusi penentuan sepakan penalti.
Sepanjang perlawanan, kesemua pemain KL City terutamanya barisan pertahanan mempamerkan aksi menyakinkan selepas berjaya mengekang kemaraan bahagian hadapan Sogdiana Jizzakh untuk membawa permainan ke penentuan sepakan penalti
“Kami bermain dengan sangat baik terutama sekali dalam bertahan, ini adalah salah sebuah perlawanan terbaik yang kami pernah bermain seperti ini.
Terima kasih kepada semua pemain terutama sekali bahagian pertahanan dan tengah kerana sentiasa peka dengan pergerakan bola,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak berhasil selepas pemain pasukan lawan dilihat buntu dalam mencari peluang untuk menyelinap masuk ke dalam kawasan penalti KL City.
Persembahan berkualiti yang dipamerkan oleh penjaga gol, Kevin Mendoza berjaya menjadi antara kunci utama kepada kejayaan pasukan pada malam semalam (5 Oktober).
Selain beraksi cemerlang sepanjang perlawanan, Mendoza juga muncul wira pasukan selepas beliau berjaya menepis satu sepakan penalti untuk memberi kelebihan dan menjulang pasukan KL City ke perlawanan akhir.
“Sudah semestinya, kami menghadapi masalah berhadapan dengan pemain Sogdiana yang bermain baik dan agresif.
Tapi akhirnya kami berjaya mengekang mereka untuk ke penalti, kita semua tahu Kevin adalah seorang penjaga gol yang baik dan kami percaya kepada dia.”
Meskipun tidak berjaya menjaringkan sebarang gol, gandingan Paulo dan Romel Morales berjaya menghidupkan beberapa peluang keemasan ke arah gawang lawan.
“Kami memiliki beberapa peluang untuk melakukan counterattack dan kami juga tiada masalah untuk bertahan sebagai sebuah pasukan.
Saya harap kami dapat teruskan perkara ini sewaktu di perlawanan akhir selepas ini.”
Pasukan The City Boys bakal melayani kunjungan dari wakil Oman, Al-Seeb di perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.
KL City perlu mengekalkan momentum kecemerlangan ini untuk menghidupkan peluang mereka dalam terus melakukan kejutan di dalam saingan Piala AFC tahun ini.
Hadir sebagai sebuah pasukan underdog, kejayaan KL City ini merupakan pencapaian yang cukup memberangsangkan tatkala ini merupakan kali pertama mereka beraksi di kejohanan berprestij ini.
Tiada yang mustahil untuk dicapai dan diharap agar impian kita untuk melihat satu lagi wakil negara menjulang trofi ini dapat direalisasikan pada tahun ini.
Come on KL City!