Osmera Omaro kecewa dengan aksi pemain, namun yakin Harimau Muda mampu capai kemenangan baki dua perlawanan
Ketua jurulatih skuad B-17 kebangsaan, Osmera Omaro meluahkan rasa kecewanya dengan aksi persembahan pemainnya apabila hanya sekadar seri 1-1 ketika menentang Guam dalam perlawanan kelayakan Piala Asia B-17 2023.
Walaupun kecewa, namun Osmera brekata anak buahnya masih mempunyai peluang cerah berikutan perubahan format selepas Timor Leste menarik diri.
“Tentu sekali kita kecewa dengan keputusan ini (seri dengan Guam), kita tidak boleh terima prestasi buruk pada peringkat ini, tapi ini adalah bola sepak remaja pergerakannya tidak selalu linear dan ada turun naik.
Kita tahu dengan format baru selepas penarikan diri Timor Leste, kalau kita menang semalam pun dia tak bawa banyak perubahan pun,”
katanya.
Tambahnya lagi, pemain sudah sedar dengan kesilapan dan akan bangkit dalam baki dua perlawanan untuk mencapai kemenangan sekaligus layak ke Piala Asia B-17 tahun depan.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan akan terpaksa melakukan perubahan untuk barisan pemain selepas ada pemain mengalami kecederaan dan ada yang digantung akibat kad merah.
Skuad Harimau Muda diundi dalam Kumpulan B dan esok mereka akan menentang UAE pada pukul 5.00pm waktu Malaysia di Stadium Pakansari, Bogor Indonesia.