Malaysia 0.07 mata di belakang Hong Kong, miliki peluang automatik ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026

23,430

Selesai kemas kini terbaru ranking dunia yang dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini, pasukan kebangsaan telah berjaya mendaki anak tangga untuk berada di tangga ke-146 dunia.

Peningkatan adalah hasil daripada kejayaan di kejohanan King’s Cup baru-baru ini selepas berjaya mencatatkan dua keputusan mengagumkan di Thailand.


Lebih menarik, Malaysia kini hanya dibezakan dengan 0.07 mata di belakang sebuah lagi negara Asia, Hong Kong yang berada di tangga ke-145 buat masa ini dengan 1062.39 mata.

Mungkin ada pihak yang menganggap perkara tersebut sebagai remeh dan tidak begitu penting, namun sebenarnya jurang yang semakin rapat ini akan memberi kelebihan kepada pasukan negara.

Sekiranya kita berjaya untuk terus mencatatkan kenaikan selepas ini dan mengatasi Hong Kong, skuad negara bakal memiliki peluang layak secara automatik ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026.

Pasukan di ranking pertama hingga ke-25 di Asia akan diberikan bye pada pusingan pertama kelayakan untuk terus bersaing di pusingan kedua.

Berdasarkan kedudukan semasa, Malaysia kini berada di tangga ke-26 dan peluang ini lah yang perlu digunakan dengan sebaiknya oleh pasukan kebangsaan.

Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu merancang sebaiknya selepas ini dalam usaha untuk mencapai perkara ini dalam masa terdekat.

Seperti kebanyakan cadangan yang dikeluarkan sebelum ini, FAM harus mengadakan lebih banyak aksi persahabatan menentang lawan berprofil tinggi bagi memudahkan kita mengumpul mata.

Barisan kejurulatihan negara juga perlu memastikan agar kesemua pemain dapat meneruskan momentum kecemerlangan untuk mencatatkan keputusan yang baik sekurang-kurangnya seri ketika bertemu dengan lawan yang lebih besar.

Sebagai contoh, pasukan Indonesia sebelum ini telah mengatur dua perlawanan persahabatan bertemu Curacao yang berada di kedudukan ke-84 dunia.

Indonesia berjaya memenangi kedua-dua perlawanan tersebut dan berhasil mengumpul sejumlah 14.71 mata untuk memperbaiki ranking mereka.

Walaupun layak ke pusingan kedua bukanlah sesuatu yang besar, namun ia adalah kelebihan yang perlu kita raih bagi mengurangkan satu halangan buat skuad negara untuk melangkah lebih jauh.

Tambahan pula, pasukan yang berada di ranking ke-26 sehingga ke-47 di Asia bukanlah lawan yang mudah kerana terdiri daripada pasukan seperti Indonesia, Singapura dan Kuwait.

Situasi ini bukan sahaja akan memberi kelebihan sewaktu kelayakan Piala Dunia semata-mata malah akan berkait dengan kelayakan ke pusingan akhir Piala Asia yang seterusnya.

Sasaran untuk terus memperbaiki ranking dalam masa terdekat adalah realistik berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan oleh pasukan.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya perlu mencari formula dalam memastikan skuad ini dapat terus cemerlang bermula pada cabaran selepas ini di saingan Piala AFF hujung tahun ini.