Sanusi buktikan beliau seorang ‘fighter’, pertahan kuat prinsip dan matlamat yang dipegang

9,209

Perseteruan di antara pemilik kelab Johor Darul Ta’zim FC, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor dilihat akan berterusan selepas ini.

Terdahulu, TMJ dilihat telah membuat permintaan kepada pemilik kelab Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar untuk menegur dan memperingati Sanusi bagi memperbetulkan sikapnya.


Permintaan tersebut dilakukan menerusi komen yang dibuat oleh TMJ pada salah satu hantaran di akaun Instagram milik Tan Sri.

Tidak berdiam diri, Sanusi muncul dengan sindiran panas menerusi hantaran di akaun Facebook peribadinya tidak lama selepas itu.

Nampaknya Sanusi benar-benar ingin membuktikan bahawa beliau adalah seorang ‘fighter’ yang akan terus cuba untuk mempertahankan prinsip yang dipegang oleh beliau.

Beliau juga dilihat sangat berani untuk melontarkan pendapat meskipun perlu berhadapan dengan golongan atasan dan lebih berpangkat.

Semangat untuk membela pasukan kesayangannya mungkin menjadi salah satu sebab utama mengapa beliau cukup disayangi di kalangan penyokong Kedah.

Sepanjang mengambil tampuk kepimpinan KFA, Sanusi telah berjaya menjalankan pelbagai alternatif dalam usaha membangunkan kembali bola sepak negeri tersebut yang sebelum ini merupakan antara pencabar utama di Malaysia.

Salah satunya adalah dengan usaha memperkenalkan saingan Liga Kedah yang semakin mendapat sambutan daripada seluruh pencinta bola sepak di negeri tersebut.

Para peminat Liga Malaysia (Liga M) sudah masak dengan ‘perang’ yang berlaku di antara kedua-dua orang besar ini.

Kesannya, kita dapat melihat Stadium Darul Aman telah dibanjiri oleh peminat dari kedua-dua pasukan sewaktu pertemuan di antara JDT bertemu Kedah baru-baru ini yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada skuad Harimau Selatan.

Tidak dapat dinafikan, persaingan di antara kedua-dua individu ini berjaya memeriahkan saingan bola sepak negara namun diharap agar perkara ini tidak terus berpanjangan.

Hal ini kerana, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kedua-dua belah peminat yang akan turut bertelagah dan ada segelintir yang akan melakukan provokasi melampau.

Sedangkan, tujuan utama bola sepak adalah untuk menjadi sebagai salah sebuah medium penyatuan kesemua lapisan masyarakat tanpa mengambil kira latar belakang dan sebagainya.  

Diharap agar TMJ dan Sanusi dapat terus menggunakan pengaruh mereka bagi mengajak dan menyeru peminat untuk terus sama-sama hadir ke stadium dalam memeriahkan saingan liga.

Kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertemu di dalam aksi tertunda Liga Super yang dijadual pada 11 Oktober ini di Stadium Sultan Ibrahim.