Peluang Hamidin ke FIFA tampak cerah, perlu tingkatkan mutu bola sepak wanita sebagai bukti

545

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dilihat telah melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

Pertemuan tersebut menjadi platform perbincangan di antara dua individu tersebut terhadap pembangunan bola sepak dari aspek yang lebih luas serta berkongsi pendapat terhadap saingan Piala Dunia FIFA yang bakal membuka tirai tidak lama lagi.


Situasi ini sedikit sebanyak memberi petanda positif buat Hamidin yang sebelum ini telah dicalonkan bagi mengisi kerusi Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023 sehingga 2027.

Beliau telah dicalonkan bersama enam individu lain termasuk Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF), Du Zhaocai dari China serta Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (KFA), Kohzo Tashima.

Dengan undangan yang diterima oleh beliau untuk bersemuka dengan Infantino memberi gambaran bahawa kemungkinan besar Hamidin sudah selangkah untuk mengesahkan tempatnya di badan induk bola sepak dunia tersebut.

Menerusi perkongsian di laman web rasmi FIFA, salah sebuah faktor yang menjadikan FAM istimewa adalah kerana penglibatan dan sokongan berterusan persatuan tersebut di dalam usaha membangunkan futsal dan bola sepak wanita.

Oleh itu, FAM selepas ini perlu terus menitikberatkan elemen ini dengan mencari alternatif yang lebih banyak bagi terus menjulang golongan wanita di dalam sukan ini.

Hamidin perlu membuktikan kredibiliti beliau dalam usaha untuk terus membangunkan aspek ini selaku pemimpin FAM bagi membolehkan beliau terus dilihat sebagai salah sebuah calon yang sesuai untuk dipilih.

Pada masa yang sama, pertemuan yang dilakukan di Doha, Qatar itu turut membuka peluang kepada Hamidin untuk melakukan kunjungan hormat ke atas presiden Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani.

Sheikh Hamad merupakan salah seorang pencabar Hamidin bagi merebut jawatan yang akan ditentukan menerusi undian sewaktu Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 1 dan 2 Februari tahun hadapan di Bahrain.

Dalam pada itu, pertemuan kedua-dua presiden ini dilihat dapat memberi impak positif menerusi perbincangan yang dilakukan untuk melihat kemungkinan berlakunya kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Qatar.

Selain menjadi tuan rumah kejohanan Piala Dunia tahun ini, Qatar turut mempunyai bola sepak yang cukup gah di Asia.

Dengan pembangunan bola sepak yang cukup pesat, mereka kini berjaya berada di ranking ke-50 dunia serta berada di tangga kelima Asia.

Sekiranya kerjasama dua hala ini benar-benar terjadi, ia akan memberi kelebihan yang besar dalam membantu meningkatkan mutu dan kualiti bola sepak di Malaysia.